ANGGOTA Bomba berusaha memadam kebakaran sebuah rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Wa, petang tadi. Foto STR/ROSLI ILHAM
ANGGOTA Bomba berusaha memadam kebakaran sebuah rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Wa, petang tadi. Foto STR/ROSLI ILHAM
Rosli Ilham


BARANG kemas bernilai RM100,000, wang tunai RM20,000, dua tempayan syiling dan empat motosikal musnah dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Wa, Dungun, hari ini.

Kebakaran 3 petang itu memusnahkan rumah pusaka milik Abdul Wahab Idris, 59, yang didiami bersama isterinya, Rohana Khalid, 54.

Rohana berkata, ketika kejadian dia baru sahaja melelapkan mata selepas mengerjakan solat Asar, manakala anaknya, Rohaida, 35, bersama dua cucunya berusia enam dan empat tahun sedang menonton televisyen di ruang tamu.

“Saya yang berada dalam bilik terkejut apabila anak menjerit api dan sebaik keluar saya melihat api sudah marak.

“Api berpunca daripada meter elektrik sebelum membakar pintu utama rumah. Saya segera menyelamatkan dua cucu dan keluar melalui pintu dapur,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, ketika kejadian suaminya yang bekerja sebagai buruh berada di tempat kerja dan api marak terlalu cepat menyebabkan mereka gagal menyelamatkan harta benda sehingga tinggal sehelai sepinggang.

“Wang tunai dan barangan kemas itu adalah hasil simpanan saya dan suami, sebahagiannya milik anak yang lain.

“Syiling yang saya dan suami simpan dalam dua tempayan itu saya tidak tahu berapa jumlahnya tetapi memang banyak,” katanya sayu.

Katanya, dia sangat sedih dengan kejadian itu dan kini menumpang di rumah anak, tidak jauh dari rumahnya itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) Jaswari Awang berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 3.05 petang.

Katanya, sepasukan 13 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan kebakaran dapat dikawal daripada merebak ke rumah bersebelahan sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 4.15 petang.

“Punca kebakaran serta jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 8:55 PM