ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran rumah pesara kerajaan di Kampung Gong Pasir, Dungun yang hangus akibat disambar petir, malam tadi. FOTO Rosli Ilham.
ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran rumah pesara kerajaan di Kampung Gong Pasir, Dungun yang hangus akibat disambar petir, malam tadi. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham 

 

RUMAH milik bekas Penyelia Hal Ehwal Murid Jabatan Pendidikan daerah Dungun di Kampung Gong Pasir, Dungun, hangus terbakar akibat dipanah petir, 8.30 malam tadi.

Mangsa, Mat Daik Mohamad, 63, berkata ketika kejadian dia bersama isterinya, Fauziah Mat, 59, mengerjakan solat di Masjid Pak Sabah yang terletak dua kilometer dari rumahnya.

Katanya, dia mengetahui kejadian itu,  selepas seorang jiran datang ke masjid memaklumkan kejadian itu.

“Saya dan isteri segera pulang dan ketika itu api marak membakar rumah dan kami gagal menyelamatkan sebarang harta benda.

“Selain barang kemas dan wang tunai berjumlah RM5,000, kereta saya turut disambar api, namun tidak serius,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dia dan isterinya tinggal sehelai sepinggang dan menumpang sementara waktu di rumah saudaranya. 

Jiran mangsa, Arifin Abu Bakar, 80, berkata, sebelum kejadian  dia bersama jemaah surau baru selesai menunaikan solat Isyak di surau berhampiran. 

Katanya, ketika itu hujan lebat disertai dengan dentuman petir kuat sehingga bekalan elektrik di surau beberapa kali terputus.

“Tiba-tiba, saya melihat satu cahaya kilat menyambar ke arah rumah mangsa dan selang beberapa minit, api mula membakar rumah terbabit. 

“Semua jemaah bergegas ke rumah itu untuk membantu memadamkan kebakaran, namun api semakin marak menyebabkan kami menghubungi bomba,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, Saifuddin Muhammad berkata, sepasukan 12 anggota dengan dua jentera dari BBP Dungun dan Paka bergegas ke lokasi kejadian. 

Katanya, api berjaya dikawal daripada merebak ke rumah berdekatan dan kebakaran itu dipadamkan sepenuhnya dua jam selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 11:56 PM