Video tular nyanyian lagu Negaraku di restoran.
Video tular nyanyian lagu Negaraku di restoran.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


“IDEA untuk memainkan lagu Negaraku di restoran sempena Hari Kemerdekaan Sabtu lalu adalah manifestasi rasa cinta

saya kepada Malaysia,” kata Rina Abdullah.

Dia yang juga Pengarah Serai Group Sdn Bhd adalah individu yang bertanggungjawab di sebalik video nyanyian lagu Negaraku di

restoran Jibby & Co yang tular di laman sosial sejak semalam.

Menurutnya, bagi sambutan kemerdekaan tahun ini, dia mahu menampilkan kelainan khususnya kepada pelanggan pelbagai bangsa

yang makan di restoran berkenaan pada hari bersejarah itu.

Katanya, tepat 12.30 tengah hari, lagu Negaraku berkumandang di restoran yang terletak di Empire Shopping Gallery, Subang Jaya

sehingga membuatkan pelanggan yang menikmati hidangan sama-sama bangun untuk menyanyi.

“Suasana itu sangat menarik kerana pelbagai bangsa dan peringkat umur berhenti seketika menjamu selera dan berdiri untuk

menyanyikan lagu bersama-sama dalam meraikan kemerdekaan negara ke-62.

“Saya mahu pelanggan merasai semangat patriotisme dan lagu Negaraku pasti tersemat dalam hati rakyat Malaysia tidak kira di mana

kita berada.

“Sempena Hari Malaysia 16 September ini, saya bercadang melakukan perkara sama di 11 restoran milik Serai Group Sdn Bhd agar ia menjadi kenangan dan kelainan kepada pelanggan,” katanya.

Video nyanyian lagu Negaraku itu tular di laman sosial dan mendapat reaksi positif warganet yang kagum dengan usaha restoran itu yang mahu menyemat rasa cinta kepada negara menerusi cara berbeza.

Sementara itu, Manssor Al Bochi, 29, yang bertugas sebagai Pengurus Operasi di restoran itu kagum dengan semangat ditunjukkan pelanggan yang sanggup berdiri dan menyanyikan lagu Negaraku bersama-sama.

Bagi lelaki berasal dari Arab Saudi itu, semangat yang ditunjukkan kira-kira 120 pelanggan restoran ketika lagu kebangsaan itu dimainkan

ternyata mengagumkan khususnya bagi rakyat negara luar.

“Rakyat Malaysia memang luar biasa kerana memiliki semangat patriotisme tinggi.

“Tidak hairan Malaysia kekal aman di sebalik kepelbagaian kaum, agama dan bangsa di negara ini,” katanya yang sudah menetap hampir enam tahun di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 4:02 PM