ORANG awam dan kakitangan menyanyikan lagu kebangsaan. FOTO NSTP
ORANG awam dan kakitangan menyanyikan lagu kebangsaan. FOTO NSTP
Amir Abd Hamid

SEMPENA sambutan Hari Kebangsaan ke-62, Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) bersama rakyat menyambutnya dengan cara tersendiri apabila semua tren Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan monorel dihentikan operasi di stesen masing-masing tepat jam 12 tengah hari, semalam.

Semua penumpang pengangkutan awam terbabit diajak menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku dalam program Mudah Tapi Indah Raikan Merdeka anjuran Prasarana.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain memimpin program di stesen LRT Pasar Seni di sini, selepas menghadiri perarakan Hari Kebangsaan di Putrajaya.

Selesai acara di platform Stesen LRT Pasar Seni, beliau terus ke hab bas Pasar Seni untuk menyertai warga kerja Rapid Bus menyanyikan lagu kebangsaan dan lagu patriotik lain sebelum beramah mesra dengan pelanggan dan memberikan cenderahati termasuk Jalur Gemilang sebagai menzahirkan rasa terima kasih atas sokongan mereka.

MOHAMED Hazlan (tengah) menyampaikan buku cenderahati dan Jalur Gemilang kepada pelanggan. FOTO Mustaffa Kamal
MOHAMED Hazlan (tengah) menyampaikan buku cenderahati dan Jalur Gemilang kepada pelanggan. FOTO Mustaffa Kamal

“Rakan kerja Rapid Bus termasuk di Pulau Pinang, Perak dan Pahang serta kakitangan Rapid Ferry turut menganjurkan program sama.

“Tetapi tidak tepat jam 12 tengah hari kerana perlu memilih perhentian sesuai bagi menyempurnakan program yang diatur untuk mengukuhkan hubungan dengan pelanggan dan menyemarakkan semangat cintakan negara.

“Idea menyanyikan lagu kebangsaan di dalam tren, bas dan feri dicetuskan staf Pusat Kecemerlangan Prasarana, Zaki Mohamed yang percaya program itu ideal untuk Prasarana berkongsi erti kemerdekaan dengan rakyat Malaysia dan menghargai bumi bertuah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 6:15 AM