ANGGOTA polis menunjukkan lori milik mangsa yang sudah dileraikan suspek. FOTO Kandau Sidi. NSTP
ANGGOTA polis menunjukkan lori milik mangsa yang sudah dileraikan suspek. FOTO Kandau Sidi. NSTP
Kandau Sidi


MISTERI penemuan mayat lelaki dibaham buaya di Sungai Suai, Miri, sejak sebulan lalu, terungkai dengan tertangkapnya enam lelaki dipercayai mempunyai kaitan membunuh mangsa sebelum menghumban mayatnya ke sungai.

Semua suspek berusia 23 dan 46 tahun ditahan di lokasi berasingan di sekitar Miri kerana disyaki membunuh, Geoge Tang Kee Luang, 60, sebelum mayatnya dicampak ke Sungai Niah.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, polis turut menjumpai lori yang sudah dileraikan, termasuk pakaian mangsa di lokasi lori dijumpai di kediaman seorang suspek di Tukau, dekat Miri.

“Turut dijumpai, sebilah parang dan besi yang dipercayai digunakan untuk membunuh suspek. Semua barangan itu dirampas polis,” katanya pada sidang media di Miri, hari ini.

Sambil menyifatkan kes itu selesai, Lim berkata, ujian darah yang dihantar ke Jabatan Kimia di Kuching juga mengesahkan mangsa.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di dalam lorinya sebelum mayat dibungkus dengan plastik dan dihumban ke sungai itu, sebelum dijumpai dua kilometer dari lokasi mayatnya dibuang.

Katanya, motif kejadian ada kaitan dengan kes penipuan jual beli barangan di kedai mangsa yang dilakukan oleh suspek.

“Disebabkan takut kegiatan mereka terbongkar, suspek bertindak membunuh mangsa untuk mengelak perbuatannya didedahkan,” katanya.

Beliau berkata, selain lori milik mangsa yang sudah dileraikan polis turut merampas sebuah kereta putih digunakan seorang daripada suspek.

“Kes itu disiasat di bawah Seksyen Kanun Keseksaan 302 kerana membunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 1:54 PM