Kandau Sidi


TINDAKAN nekad sekumpulan nelayan Kuala Suai, Miri, berjaya menyelamatkan separuh badan lelaki daripada dimakan reptilia berkenaan di Sungai Suai, Niah, semalam.

Hanya bahagian perut dan kaki yang sempat diselamatkan, manakala bahagian badan yang lain hilang.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, nelayan terbabit berjaya menghalau reptilia itu.

“Bagaimanapun, mayat itu hanya tinggal bahagian perut hingga ke kaki,” katanya di Miri, hari ini.

Menurutnya, sebelum itu, seorang nelayan bersama adik lelakinya ternampak seekor buaya sedang mengheret satu objek seperti tubuh manusia.

Katanya, mereka melihat kejadian itu semasa melalui Sungai Pabong menuju ke muara Sungai Suai.

Beliau berkata, kedua-dua kemudian mendekati buaya itu dan ternampak mangsa dibaham buaya.

“Nelayan itu meminta bantuan nelayan yang lain. Pada jam 1.30 tengah hari, mereka menjumpai buaya bersama mayat individu itu di kawasan Sungai Suai.

“Mereka menghalau reptilia itu dan menarik mayat mangsa dengan mengikat dengan menggunakan tali dan menariknya ke kawasan tebing berdekatan Jambatan Suai,” katanya.

Difahamkan, jarak dari tempat mayat dibaham buaya ke kawasan ia dijumpai ialah 20 minit menaiki bot.

Lim berkata, siasatan awal polis mendapati mayat itu seperti milik seorang lelaki dewasa.

“Namun, keturunan dan umur mayat tidak dapat dikenal pasti. Tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai di dalam pakaian mangsa,” katanya.

Beliau berkata, mayat dihantar ke rumah mayat Hospital Miri untuk bedah siasat.

Berita berkaitan:

  • Nampak buaya heret badan manusia
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 11:46 AM