SEBANYAK 4,200 biji telur ayam tanpa permit dirampas. FOTO Ihsan MAQIS Kelantan.
SEBANYAK 4,200 biji telur ayam tanpa permit dirampas. FOTO Ihsan MAQIS Kelantan.
Syaherah Mustafa


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 4,200 telur ayam di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga, Tanah Merah, jam 11 pagi kelmarin.

Kesemua telur bernilai RM2,520 itu dirampas daripada seorang lelaki warga Thailand yang cuba membawa bekalan itu ke negara jiran tanpa permit sah.

Pengarah MAQIS Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, pemeriksaan mendapati lelaki berusia 56 tahun itu membawa telur ayam menggunakan kereta bernombor pendaftaran Malaysia untuk ke negara asal.

“Kesemua telur dirampas kerana melanggar syarat eksport barang pertanian, haiwan, ikan dan hasil keluar dari Malaysia yang memerlukan permit eksport dari pihak MAQIS.

“Golongan ini menggunakan pelbagai taktik bagi mengaburi mata pihak kami termasuk bertukar modus operandi, namun hasil kecekapan anggota MAQIS ia dapat dikesan dan dirampas,” katanya hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati pengeksport memperoleh keuntungan lebih tinggi jika memborong telur di negara ini kerana ia murah.

Katanya, ia kemudian akan dijual pada harga lebih tinggi di Thailand berikutan mata wang Malaysia yang rendah.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 11(2) Akta

Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

Katanya, jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“MAQIS memandang serius masalah ini dan tindakan penguatkuasaan di semua pintu masuk negara terus diperketatkan bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan terpelihara.

“Langkah ini bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke negara ini dan mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 10:22 AM