ALI (kanan) bersama Mohd Shahrir merebus jering di gerainya di Kampung Belakang Bukit Besar, Kuala Terengganu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
ALI (kanan) bersama Mohd Shahrir merebus jering di gerainya di Kampung Belakang Bukit Besar, Kuala Terengganu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


“BUKAN semua orang pandai menyediakan jering rebus kerana jika tersilap rebus, ia boleh menjadi racun dan memudaratkan sistem saluran air kecil dan besar,” kata Ali Ismail, 60, penjual jering rebus di Kampung Belakang Bukit Besar, Kuala Terengganu.

Ali berkata, dia sempat mempelajari cara merebus jering itu daripada sepupunya sebelum lelaki terbabit meninggal dunia lima tahun lalu.

“Nampak senang merebus jering, tetapi ramai tidak tahu ia menggunakan kaedah dan ramuan tersendiri sekali gus menyebabkan jering rebus ini sukar ditemui.

“Sebelum ini, saya pernah menjual jering mentah kepada pelanggan kerana dia mahu merebusnya sendiri, namun akhirnya dia dikejarkan ke hospital kerana kesukaran membuang air kecil dan besar.

“Sejak kejadian itu, saya tidak lagi menjual jering mentah untuk diproses sendiri melainkan untuk dijadikan ulam sahaja,” katanya yang mendapat bekalan jering daripada pekebun di Kuala Terengganu, Marang dan Kelantan.

Ali berkata, permintaan terhadap makanan tradisional itu sangat menggalakkan setiap kali tiba musim jering bermula Ogos hingga November.

Menurutnya, jering rebus sesuai dimakan dengan kelapa parut dan ia dijual dengan harga RM3 untuk 15 hingga 20 keping bergantung pada saiz.

“Tahun lalu, kami menjual lebih 100,000 keping jering rebus dan ia pernah dipasarkan hingga ke Singapura selain pelanggan tetap dari Kemaman dan Besut,” katanya.

Menurutnya, dia dibantu anaknya, Mohd Shahrir, 28, yang mengupas dan merebus jering yang biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya 24 jam.

“Biasanya ia perlu direbus sekurang-kurangnya 24 jam tetapi ia semakin sedap jika direbus selama tiga hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 10:18 PM