Paya Linda Yahya


Gua Musang: Hanya pada musim tengkujuh peniaga dari Kampung Lalang ini dapat menjana pendapatan berganda hasil jualan jering rebus disebabkan permintaan tinggi berbanding musim lain.

Nor Atinay Abd Kadir, 38, berkata, jering rebus hanya dapat dijual pada September hingga Disember dan lebih 15 kilogram (kg) terjual setiap kali meja jualannya dibuka, yang membolehkannya memperoleh antara RM200 hingga RM300.

Katanya, dia akan mencari sendiri buah jering di dalam hutan selain mendapat bekalan daripada penduduk setempat.

"Jering yang sudah dikupas akan dicuci dan direbus yang keseluruhannya memakan masa 12 jam dan saya dibantu ahli keluarga untuk proses ini.

"Jering ini rasanya lembut, lemak dan dimakan bersama kelapa muda bergaul garam dan gula," katanya ketika ditemui di Kampung Lalang di sini.

JERING dikupas dan dibersihkan sebelum direbus.
JERING dikupas dan dibersihkan sebelum direbus.

Menurut Nor Atinay tidak ramai yang menghasilkan makanan tradisional itu kerana memerlukan kesabaran tinggi untuk memprosesnya termasuk sembilan jam untuk merebus.

Katanya, dia juga menggunakan jering tua kerana rasa yang lebih sedap dan tidak mudah hancur apabila direbus lama.

"Bagi menghilangkan bau dan rasa jering yang kurang menyenangkan, saya akan membersihkan buah itu berulang kali dan merebusnya lama," katanya yang menjual jering rebus pada harga RM5 untuk 30 keping.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 6:45 AM