OPERASI Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Plaza Tol Sentul Pasar. FOTO NURUL SHAFINA JEMENON
OPERASI Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Plaza Tol Sentul Pasar. FOTO NURUL SHAFINA JEMENON
Nurul Hidayah Bahaudin


KAUT keuntungan lebih 10 kali ganda. Itu kegiatan dilakukan sindiket menawarkan khidmat menghantar penumpang ke Genting Highlands menggunakan kenderaan persendirian.

Kegiatan itu terbongkar selepas penahanan beberapa individu menjalankan aktiviti berkenaan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dalam serbuan dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, seramai 11 individu termasuk ulat tiket dan sindiket van sapu ditahan di TBS, KL Sentral dan Hentian Duta sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

“Menerusi tangkapan ini, kami mengesan sindiket menawarkan harga tidak masuk akal kepada pelancong asing yang mahu ke Genting Highlands di TBS iaitu RM60 hingga RM120 bagi setiap penumpang berbanding harga tiket bas sekitar RM9.

“Sindiket ini meyakinkan pelancong asing dengan menggunakan alasan kenderaan mereka lebih cepat sampai ke destinasi berbanding bas,” katanya pada sidang media ketika mengetuai Operasi Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Bilangan 3/2019 di Plaza Tol Sentul Pasar, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Kuala Lumpur, malam tadi.

Ismail berkata, selain tiga lokasi tangkapan itu, pihaknya turut menerima banyak aduan berhubung kewujudan ulat tiket di sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Lokasi ini kini dalam pemantauan kami ekoran aduan diterima orang awam berhubung kehadiran ulat tiket di kawasan berkenaan.

“Justeru itu, saya menasihatkan orang ramai supaya jangan ambil jalan mudah dengan menggunakan khidmat ulat tiket, sebaliknya terus ke kaunter.

“Kegiatan ini akan mati dengan sendiri jika tiada pihak yang memberi sokongan kepada sindiket berkenaan dengan membeli tiket daripada mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 1:02 PM