Anggota bomba menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam lif di PPR Lembah Subang hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Anggota bomba menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam lif di PPR Lembah Subang hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Khairul Najib Asarulah Khan


“SEMUA panik apabila lif terhenti secara mengejut. Kami risau jika lif itu terhempas,” kata Huslina Hussin, 35, salah seorang mangsa yang terperangkap dalam lif pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, Blok D, Petaling Jaya hari ini.

Dalam kejadian 6.50 pagi itu, 11 mangsa termasuk tujuh kanak-kanak menempuh detik cemas apabila lif di bangunan 16 tingkat itu terhenti di tingkat tujuh.

Huslina berkata, mereka terperangkap hampir 30 minit dan lebih merisaukan apabila kanak-kanak mula menangis.

“Kebanyakan mereka (kanak-kanak) sudah lengkap beruniform untuk ke sekolah. Situasi itu membuatkan kami bertambah risau.

“Sejurus itu, saya segera menghubungi talian kecemasan 999 untuk memohon bantuan sebelum kami diselamatkan bomba.

“Kejadian ini pertama kali berlaku sejak saya tinggal di sini hampir 14 tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya, Mohd Hafiz Mat Dali berkata, pihaknya menerima panggilan 7.19 pagi sebelum enam anggota bersama jentera dikerah ke lokasi.

“Sebaik tiba 23 minit kemudian kita dapati lif itu terhenti di antara tingkat tujuh dan enam.

“Kami menggunakan kerusi untuk mangsa naik ke tingkat tujuh sebelum disambut anggota.

“Semua mangsa berjaya diselamatkan 10 minit kemudian dan tiada yang cedera dalam kejadian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 6:02 PM