Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam lif petang tadi. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam lif petang tadi. FOTO ihsan bomba
Ayusliza Azizan


TIGA termasuk seorang kanak-kanak dari Blok A Kuarters Kerajaan Seksyen 16, Shah Alam terperangkap dalam lif blok itu hampir 45 minit 6.20 petang semalam.

Dalam kejadian itu, lif dinaiki mereka tersangkut di tingkat empat blok berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan 6.27 petang dan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam segera ke lokasi.

"Anggota bertindak menyelamatkan mangsa dengan menggunakan alat pembuka hidraulik.

"Bomba mengambil masa 18 minit untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap," katanya.

Menurutnya, tiada kecederaan dilaporkan dan operasi tamat pada 6.52 petang.

Mangsa yang terperangkap adalah lelaki berusia 51 tahun, wanita 28 tahun dan kanak-kanak perempuan 11 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2017 @ 1:19 AM