BOMBA menyelamatkan kanak-kanak yang terperangkap dalam lif berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA menyelamatkan kanak-kanak yang terperangkap dalam lif berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


LIMA belas pengunjung sebuah pusat beli-belah di Alor Setar, diselamatkan pasukan bomba selepas terperangkap hampir 10 minit di dalam dua lif, hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Zulkiflee Md Isa berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.29 petang.

Beliau berkata, susulan itu, sebuah jentera dan van Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS), dengan kekuatan sembilan anggota dikejarkan ke lokasi.

“Dalam lif di tingkat tiga itu, terdapat seorang kanak-kanak perempuan bersama bapanya berusia 30-an, tiga pelajar lelaki berusia 15 tahun dipercayai menyertai rombongan sekolah dan tiga wanita berusia sekitar 30-an.

“Selain itu, tiga wanita (tidak diketahui usia) yang berada di lif di tingkat bawah pula dapat diselamatkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkiflee berkata, kesemua mangsa dapat diselamatkan dengan bantuan penyelenggara lif sejurus anggota bomba tiba di lokasi kejadian.

Katanya, seorang pekerja di kompleks itu diberi rawatan oleh anggota EMRS kerana mempunyai masalah asma.

“Kejadian itu membabitkan dua unit lif di tingkat tiga dan tingkat bawah kompleks berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 10:31 PM