Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: "Kami hanya fikir nak selamatkan mangsa," kata Lans Koperal Mohamad Khairul Annuar Borhan, 33, yang tular menyelamatkan dua beranak terperangkap dalam kediaman terbakar di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, dua mangsa iaitu seorang lelaki dan anak perempuan berjaya diselamatkan tiga anggota polis yang bertindak pantas ke lokasi.

Anggota Balai Polis Wangsa Maju itu berkata, ketika kejadian dia bertugas menjalankan rondaan bersama dua rakan sekerja iaitu Lans Koperal Mohamad Hazieril Hanif Ahmad dan Lans Koperal Muhammad Shahrul Afiq Ahmad Dugel.

Menceritakan kejadian, mereka diarahkan ke lokasi selepas bilik gerakan Balai Polis Wangsa Maju menerima panggilan kejadian.

Anggota Balai Polis Wangsa Maju, Lans Koperal Mohamad Hazieril Hanif Ahmad (kiri) bersama mangsa dan anak perempuannya selepas diselamatkan. Ihsan PDRM
Anggota Balai Polis Wangsa Maju, Lans Koperal Mohamad Hazieril Hanif Ahmad (kiri) bersama mangsa dan anak perempuannya selepas diselamatkan. Ihsan PDRM

"Secara kebetulan kami berada berhampiran lokasi dan segera ke sana dan sebaik tiba, kami menaiki lif untuk ke kediaman yang terbakar di tingkat 19.

"Semasa menaiki lif, ia secara tiba-tiba berhenti di tingkat 10. Ketika itu kami risau juga terperangkap dalam lif namun beberapa minit kemudian, lif bergerak semula dan naik sehingga ke tingkat 35.

"Kami kemudian berlari menuruni tangga untuk ke rumah mangsa. Apabila tiba di rumah mangsa, kami terpaksa memecahkan pintu utama yang berkunci untuk menyelamatkan mereka," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohamad Khairul berkata, mereka menemui dua mangsa sedang berpelukan di bahagian balkoni rumah sebelum membawa keduanya keluar dengan selamat.

Katanya, dia bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa yang berlaku.

"Saya tidak mengharapkan pujian dan apa dilakukan kerana tugas serta tanggungjawab saya sebagai anggota pasukan polis yang menjaga keselamatan masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 4:02 PM