LIF tiba-tiba berhenti di tingkat 14. FOTO ihsan pembaca
LIF tiba-tiba berhenti di tingkat 14. FOTO ihsan pembaca
Zulfa Mohamad


Butterworth: Seorang wanita sarat mengandung sesak nafas, dua penduduk cedera manakala seorang kanak-kanak perempuan hampir pengsan apabila terperangkap dalam lif selama hampir sejam di Pangsapuri Ampang Jajar, Mak Mandin, malam tadi.

Sebelum kejadian 10 malam itu, tujuh penduduk menaiki lif untuk ke rumah masing-masing di Blok A setinggi 19 tingkat.

Seorang daripada mangsa terbabit, M Selvi, 40-an, berkata mereka terdengar dentuman kuat sebelum siling lif runtuh dan lif terhenti secara tiba-tiba di tingkat 14.

"Bumbung lif yang jatuh menimpa dua penduduk menyebabkan mereka cedera manakala pintu lif tidak boleh dibuka kerana tersangkut.

"Kami sukar bernafas kerana kurang oksigen dan menjerit meminta tolong daripada penduduk lain," katanya.

Bagaimanapun, mereka bernasib baik apabila penduduk lain bergegas mengcungkil pintu lif sebaik dimaklumkan kejadian itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Mak Mandin Samsudin Mat berkata, dia dan beberapa penduduk lain bergegas menyelamatkan mangsa yang terperangkap sebaik dimaklumkan kejadian itu.

"Sebaik sampai di tempat kejadian, saya dapati mangsa menjerit meminta tolong melalui celah pintu lif yang terbuka sedikit.

"Kami mencungkil pintu lif sehingga mangsa dapat keluar seorang demi seorang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2016 @ 1:34 PM