Laporan portal berita Harian Metro semalam.
Laporan portal berita Harian Metro semalam.
Hazsyah Abdul Rahman


LIMA daripada 10 nelayan Vietnam yang ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di Pulau Lankayan, Beluran kelmarin, bakal berhadapan dakwaan cubaan membunuh.

Ia susulan tindakan agresif nelayan berkenaan dipercayai memotong tali pukat sebelum melarikan diri dan menyebabkan salah satu daripada kapal berkenaan merempuh bot PPM.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, ketika kejadian, anggota PPM mengesan nelayan kapal pukat tunda yang dinaiki warga asing itu didapati memukat di perairan negara.

“Sebaik menyedari kehadiran pasukan keselamatan, nelayan Vietnam terbabit bertindak memotong tali pukat sebelum melarikan diri.

“Kapal asing itu kemudiannya merempuh bot PPM sehingga menyebabkan anggota PPM terpaksa melepaskan tembakan untuk mengelak terus dilanggar.

“Selepas tembakan dilepaskan, nelayan terbabit berhenti dan menyerahkan diri kepada anggota PPM,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, semua suspek berusia antara 17 hingga 39 tahun dan kapal serta peralatan yang digunakan dirampas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh dan Seksyen 15(1) (a) Akta Perikanan 1985,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian 9.45 pagi, anggota PPM mengesan kehadiran dua kapal nelayan Vietnam di kawasan berkenaan.

Ketika pemeriksaan kedua-dua kapal memecut dan sebuah daripada kapal itu bertindak melanggar bot pasukan keselamatan.

Selepas setengah jam, kedua-dua kapal yang dinaiki 10 lelaki Vietnam itu berjaya ditahan.

Berita berkaitan

Dah masuk negara orang, kurang ajar pula..

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 11:29 AM