SHAFIE melihat gogoh menangkap udang di Sungai Kelong.
SHAFIE melihat gogoh menangkap udang di Sungai Kelong.
Siti Rohana Idris


TUMPAT: Setiap hari di awal pagi, Shafie Salleh turun ke sungai untuk memungut hasil tangkapan udang yang terperangkap dalam gogoh iaitu sejenis bubu.

Warga emas berusia 73 tahun itu mengemudi bersendirian botnya, menuju ke Sungai Kelong untuk memungut 100 gogoh iaitu alat tradisional untuk menangkap udang yang diletakkannya sehari sebelumnya.

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kelong di sini, Shafie yang turut mahir menghasilkan gogoh membaiki beberapa gogoh yang rosak namun masih boleh digunakan di bangsal belakang rumah.

Shafie berkata, sudah tidak ramai yang menggunakan gogoh untuk menangkap udang pada masa kini, namun dia masih mengekalkan alatan tradisional yang sudah digunakan sejak lebih 40 tahun lalu.

“Menjadi kelaziman anak kampung yang hidup di pinggir sungai, saya tidak terkecuali mempunyai kemahiran berasaskan tangkapan hasil sungai termasuk menghasilkan bubu udang atau lebih tepat panggilannya adalah gogoh.

“Sebelum ini, saya bekerja di pelabuhan dan merata tempat sudah pergi sebelum kembali serta menetap di kampung halaman dan menumpukan sepenuh masa kepada kerja menangkap udang serta membuat gogoh.

 SHAFIE  menunjukkan udang yang ditangkap dengan menggunakan gogoh.
SHAFIE menunjukkan udang yang ditangkap dengan menggunakan gogoh.

“Selain untuk kegunaan sendiri, saya juga menerima tempahan daripada orang ramai yang masih ingin menggunakan alatan tradisional ini untuk menangkap udang,” katanya.

Bapa kepada 13 cahaya mata itu berkata, gogoh yang dihasilkan hanya menggunakan buluh yang diraut, rotan untuk melilit permukaan injap serta pokok ribu-ribu sebagai pengikat injap.

Katanya, jika dahulu dia menghasilkan tiga saiz berbeza setiap gogoh namun kini hanya saiz kecil saja dihasilkan kerana permintaan terhadap gogoh sudah berkurangan.

“Setiap satunya dijual pada harga RM15 dan permintaan terhadap gogoh masih ada namun tidak banyak kerana selain digunakan menangkap udang, ada pembeli yang menempah untuk dijadikan perhiasan rumah.

“Namun tempahan gogoh meningkat menjelang musim tengkujuh kerana selepas musim itu udang memang banyak,” katanya sambil memberitahu setiap satu gogoh mampu disiapkannya dalam masa sehari.

Warga emas itu berkata, menangkap udang menggunakan gogoh buatannya adalah aktiviti rutin Shafie dan tangkapan udang yang diperoleh lumayan iaitu mencecah empat kilogram setiap hari hasil 100 gogoh yang ditahan di dalam sungai menggunakan umpan kelapa.

Katanya, antara udang yang ditangkap adalah udang galah, udang gantung dan udang putih yang dijualnya kepada penduduk kampung atau peraih.

“Saya sedar gogoh semakin pupus kerana sudah banyak alatan lain yang lebih canggih dan moden untuk menangkap udang dan untuk mengekalkannya agak sukar.

“Bukan sahaja tidak ramai yang menggunakan alatan ini, pembuatnya juga tidak ramai kerana tiada pelapis berminat mempelajari seni pembuatan alatan tradisional ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 5:30 AM