PAMERAN Peralatan Memburu Jerat dan Perangkap.
PAMERAN Peralatan Memburu Jerat dan Perangkap.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Satu masa dulu aktiviti memburu haiwan begitu popular sama ada dalam hutan, belukar, sungai dan laut.

Pelbagai peralatan berbeza digunakan mengikut jenis haiwan yang ingin ditangkap dan keadaan persekitarannya.

Antara peralatan tradisional digunakan ialah jaring, jebak, jerat, lembing, perangkap, racik, lastik, lukah, bubu dan pukat.

Namun, aktiviti itu kini semakin kurang digemari dan perubahan cara hidup juga menyebabkan ilmu serta kemahiran memburu, memasang jerat selain perangkap kian dilupakan.

Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya mengambil inisiatif menganjurkan Pameran Peralatan Memburu Jerat dan Perangkap untuk memberikan pendedahan kepada orang ramai berkenaan peralatan itu di Muzium Etnografi Melayu di akademi berkenaan.

PENSYARAH kanan Jabatan Sosio Budaya Akademi Pengajian Melayu Dr Marzudi Md Yunus (kiri) melihat peralatan tradisional untuk ikhtiar hidup.
PENSYARAH kanan Jabatan Sosio Budaya Akademi Pengajian Melayu Dr Marzudi Md Yunus (kiri) melihat peralatan tradisional untuk ikhtiar hidup.

Pameran yang berlangsung dari 16 April hingga 15 Mei ini menghimpunkan 120 peralatan tradisional merang­kumi peralatan memburu, menangkap burung, ikan, jerat dan perangkap haiwan darat, kolek­si lukisan berkaitan haiwan serta kajian ilmiah.

Kurator muzium terbabit, Mohammad Anis Abdul Samad berkata, peralatan paling unik dipamerkan ialah jebak burung puyuh kerana ramai tidak mengetahui dan jarang melihatnya.

“Terdapat kira-kira 13 jenis jebak burung puyuh dipamerkan dan ia antara koleksi antik Muzium Negara serta milik peribadi pengumpul barangan antik, Datin Azlina Yunus.

“Peralatan ini diperbuat daripada buluh, kayu dan jaring. Reka bentuknya berbeza mengikut tempat iaitu Kelantan, Thailand, Indonesia dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, jebak itu bersaiz kecil kerana bersesuaian dengan saiz burung puyuh.

 JEBAK burung puyuh peralatan yang menarik terdapat dalam pameran.
JEBAK burung puyuh peralatan yang menarik terdapat dalam pameran.

Pada masa dulu, memikat burung burung puyuh antara kegiatan diminati terutama selepas musim menuai padi ketika banjir.

“Pada musim itu burung puyuh mudah didekati. Puyuh denak diletakkan di dalam jebak untuk dijadikan penarik kepada puyuh liar.

“Apabila puyuh liar mendekati pintu jebak dan terpijak jerat yang dipasang, pintu jebak pun tertutup,” katanya.

Jelasnya, aktiviti menjebak burung puyuh semakin dilupakan apabila haiwan berkenaan mudah didapati kerana adanya penternakan moden.

Namun masih ramai pencinta seni meminati jebak puyuh sebagai salah satu artifak budaya kerana memiliki keindahan dan keunikan tersendiri yang perlu dipulihara.

PENSYARAH Jabatan Sosio Budaya Akademi Pengajian Melayu Zamre Abu Hassan menunjukkan bubu iaitu sejenis peralatan menangkap ikan.
PENSYARAH Jabatan Sosio Budaya Akademi Pengajian Melayu Zamre Abu Hassan menunjukkan bubu iaitu sejenis peralatan menangkap ikan.

Empat jenis peralatan memburu dan jerat

1. Peralatan memburu

• Panah tradisional

• Sumpit

• Tombak

• Tiruk ikan

• Tampuling

2. Peralatan menangkap burung

• Jebak

3. Peralatan menangkap ikan

• Bubu

• Lukah

• Jala

• Serkap

4. Peralatan jerat dan perangkap haiwan darat (dalam hutan)

• Jerat bingkai

• Perangkap pelanduk

• Jerat jerut

MOHAMMAD Anis melihat antara jebak burung puyuh yang dipamerkan.
MOHAMMAD Anis melihat antara jebak burung puyuh yang dipamerkan.

PAMERAN PERALATAN MEMBURU JERAT DAN PERANGKAP

• PERALATAN: 120

• TARIKH: 16 April hingga 15 Mei 2018

• ALAMAT: Muzium Etnografi Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

• MASA: 9 pagi hingga 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 1:07 PM