Antara peket tembakau kunyah yang dirampas KPDNHEP di Kawasan Perindustrian Bukit Merah, Lahat di Ipoh, semalam. Foto Ihsna KPDNHEP
Antara peket tembakau kunyah yang dirampas KPDNHEP di Kawasan Perindustrian Bukit Merah, Lahat di Ipoh, semalam. Foto Ihsna KPDNHEP
Muhammad Apendy Issahak


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas sejumlah tembakau kunyah dipercayai tiruan dalam satu serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Bukit Merah, Lahat di Ipoh, semalam.

Serbuan 11 pagi itu dijalankan sepasukan lima pegawai penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya bersama dua wakil cap dagang.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Perak Khalid Tik berkata, pemeriksaan terhadap premis itu menemui sejumlah peket plastik pembungkus tembakau kunyah yang disyaki tiruan dan enam jenis mesin memproses bahan berkenaan.

“Sehubungan itu, KPDNHEP bertindak menyita 80 peket plastik pembungkus tembakau kunyah, 15 peket bersaiz A4, dua unit bungkusan putih yang disyaki tembakau kunyah dan enam unit mesin.

“Kesemua barang sitaan disimpan di stor ekshibit KPDNHEP Perak untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan keseluruhan serbuan itu dianggarkan RM240,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 (2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu mendedahkan untuk pembekalan atau mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalan untuk pembekalan apa-apa barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan.

“KPDNHEP memandang serius tindakan peniaga yang menggunakan perihal dagangan palsu ke atas barangan berjenama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 7:01 PM