Penguatkuasa Maqis Pulau Pinang memeriksa kontena yang membawa masuk tulang ikan tuna sejuk beku di Pelabuhan NBCT, di Butterworth. FOTO ihsan Maqis
Penguatkuasa Maqis Pulau Pinang memeriksa kontena yang membawa masuk tulang ikan tuna sejuk beku di Pelabuhan NBCT, di Butterworth. FOTO ihsan Maqis
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Tulang ikan tuna sejuk beku seberat 27 tan dari China yang dibawa masuk ke Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini, disita selepas pengimport didapati mengisytiharkan barangan komoditi yang berbeza.

Difahamkan, pengimport mengisytiharkan membawa masuk produk berasaskan surimi iaitu makanan yang diperbuat daripada daging atau ikan sebaliknya yang tiba adalah konsainan berlainan.

Berikutan itu, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Negeri Pulau Pinang menyita barangan berkenaan dalam satu pemeriksaan yang diadakan Selasa lalu.

Pengarah Maqis Pulau Pinang Muhammad Ikram Abd Talib berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan sebelum menahan sebuah kontena yang membawa masuk tulang ikan tuna sejuk beku.

"Hasil pemeriksaan lanjut dilakukan mendapati kontena itu membawa masuk tulang ikan tuna sejuk beku seberat 27,000 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM362,630.

"Kita seterusnya menahan kontena terbabit untuk siasatan lanjut kerana komoditi yang dibawa masuk adalah berbeza dengan komoditi diisytihar pada Permit Import yang dikeluarkan Maqis," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, pengikraran maklumat yang berbeza serta mengelirukan pada permit import Maqis adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Dalam akta ini iaitu mana-mana orang yang memberikan maklumat yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian adalah menjadi suatu kesalahan.

"Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau keduanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 1:51 PM