ORANG ramai berkumpul di luar bangunan selepas gempa bumi melanda Jakarta, malam ini. FOTO Reuters
ORANG ramai berkumpul di luar bangunan selepas gempa bumi melanda Jakarta, malam ini. FOTO Reuters
Faliq Lajim


RAKYAT Malaysia yang berada di kawasan sekitar gempa bumi di Indonesia diminta untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengikuti arahan terkini dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam satu notis konsular memberitahu gempa bumi 7.4 magnitud berpusat di perairan 147 kilometer (km) Barat Daya Banten berlaku pada 7.03 malam (waktu Indonesia Barat) 2 Ogos.

Menurut notis itu, peringatan tsunami awal sudah dikeluarkan oleh Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia bagi kawasan persisiran pantai di Banten, Bengkulu, Jawa Barat dan Lampung.

“Rakyat Malaysia yang terjejas dan memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi pegawai bertugas di talian +62215224947 atau +6281380813036,” katanya.

Terdahulu, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Mohd Asri Tuan Hussein, yang mengikuti rombongan editor dan wartawan Malaysia ke Jakarta melaporkan gempa bumi itu membuatkan mereka panik.

Katanya, ketika kejadian mereka baru selesai sesi temuramah dengan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Rusdi Kirana di pejabat syarikat penerbangan Lion Air di Jalan Gajah Mada, di sini.

“Gegaran kuat dirasai selama tiga hingga empat minit. Kami lebih kurang 20 orang termasuk 15 wartawan dari Malaysia segera bergegas turun dari tingkat lapan dan berkumpul di depan bangunan,” katanya melalui aplikasi WhatsApp.

Seramai 15 editor dan wartawan dari Malaysia berada di Jakarta sejak semalam untuk melawat pejabat Lion Air.

Berita berkaitan

'Jakarta dilanda gempa bumi kuat [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 11:36 PM