LELAKI melihat kerosakan pada masjid susulan gempa bumi di Lombok, semalam. FOTO REUTERS/Antara Foto
LELAKI melihat kerosakan pada masjid susulan gempa bumi di Lombok, semalam. FOTO REUTERS/Antara Foto
BERNAMA

RAKYAT Malaysia di Lombok dilaporkan berada dalam keadaan selamat ketika ini berikutan berlakunya kejadian gempa bumi bermagnitud 7 pada Skala Richter semalam.

Timbalan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zamshari Shaharan berkata, kedutaan berjaya menghubungi 84 warga Malaysia di beberapa lokasi di Lombok setakat pagi ini dan dimaklumkan mereka berada dalam keadaan selamat.

"Kedutaan juga berjaya menghubungi para pelajar Malaysia yang menuntut di Bali dan mereka juga dilaporkan berada dalam keadaan selamat," katanya.

Gegaran gempa bumi kuat di Lombok Utara jam 6.46 petang semalam itu turut dirasai di sekitar Pulau Lombok, Pulau Sumbawa, Pulau Bali dan Jawa Timur.

Kedutaan Malaysia juga menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di Lombok supaya kekal berada di tempat yang selamat dan menghindari kawasan berisiko termasuk bangunan yang mengalami kerosakan.

"Sebahagian kawasan di Lombok Utara dan Timur masih terputus bekalan elektrik dan warganegara Malaysia yang terkesan dinasihatkan untuk kekal tenang dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan," katanya.

Rakyat Malaysia yang merancang untuk ke Lombok dalam masa yang terdekat diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan memantau perkembangan semasa, katanya.

"Mereka diminta untuk mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan memaklumkan kepada kedutaan.

Rakyat Malaysia yang berada di Lombok yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi nombor telefon +62215224947 dan +62 81380813036 (WhatsApp) serta emel [email protected] / [email protected]," katanya.

Menurut laporan media Indonesia, setakat pagi ini, 82 orang dilaporkan terkorban, bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan, manakala banyak kerosakan bangunan dan rumah dilaporkan berlaku di seluruh pulau Lombok itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 11:32 AM