PELANCONG asing menunggu untuk daftar masuk di lapangan terbang di Lombok. FOTO Agensi
PELANCONG asing menunggu untuk daftar masuk di lapangan terbang di Lombok. FOTO Agensi
Nor Azizah Mokhtar


KEDUTAAN Besar Malaysia di Indonesia sedang berusaha memindahkan warga Malaysia yang masih berada di beberapa lokasi di Lombok, Indonesia, ke tempat yang lebih selamat.

Menerusi kenyataan pejabat kedutaan hari ini, setakat 10.30 pagi, seramai 161 warga Malaysia yang masih berada di pulau pelancongan itu sudah dapat dihubungi dan dilaporkan selamat.

“Pada masa ini, pihak berkuasa Indonesia sedang menyelaras misi mencari dan menyelamat mangsa yang terkesan akibat gempa ini.

“Dalam hal ini, kedutaan sedang bekerjasama rapat dengan agensi terbabit bagi memindahkan warga negara Malaysia ke tempat lebih selamat,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk kekal tenang dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Mereka juga dinasihatkan untuk berada di tempat yang selamat dan menghindari kawasan yang berisiko termasuk bangunan yang mengalami kerosakan,” katanya.

Sementara itu, pihak kedutaan meminta warga Malaysia yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok dan Ngurah Rai di Bali bersabar kerana kesesakan dijangka berlaku.

“Syarikat penerbangan akan membantu untuk penjadualan semula penerbangan keluar dari Lombok.

“Beberapa gempa susulan masih berlaku di Lombok, justeru warga Malaysia yang merancang untuk ke Lombok dalam masa terdekat diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan memantau perkembangan semasa,” katanya.

Dalam pada itu, mereka diminta untuk mematuhi arahan pihak berkuasa dan berdaftar dengan kedutaan.

Rakyat Malaysia yang berada di Lombok yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi nombor telefon +62215224947 dan +62 81380813036 (Whatsapp) serta emel [email protected] [email protected].

Gegaran gempa bumi kuat bermagnitud 7 di Lombok Utara jam 6.46 petang semalam itu turut dirasai di sekitar Pulau Lombok, Pulau Sumbawa, Pulau Bali dan Jawa Timur.

Berita berkaitan

Terkini: 91 terkorban gempa bumi Lombok

Rakyat kita di Lombok selamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 3:53 PM