Tiga beradik yang diselamatkan pegawai TLDM, APM dan orang awam hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Tiga beradik yang diselamatkan pegawai TLDM, APM dan orang awam hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Noor Hidayah Tanzizi


TINDAKAN pantas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Penyelamat Pantai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Manjung berjaya menyelamatkan tiga beradik daripada lemas ketika mandi di Pantai Teluk Batik, Lumut hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, tiga beradik berkenaan iaitu Ameer Sirajuddin Jamalulail Ahmad Jamalulaid, 17, dan dua adiknya, Nur Insyirah Diniyyah, 11, serta Ahmad Kamil Mizan Jamalulail, 8, datang ke pantai berkenaan bersama keluarga untuk berkelah.

Difahamkan, ketiga-tiga beradik itu memakai pelampung ketika mandi, namun tiba-tiba mereka terlepas dari pelampung lalu dipukul ombak hingga menyebabkan mereka hampir lemas.

Situasi cemas itu disedari pegawai TLDM yang datang bersama keluarganya ke pantai itu sebelum memberikan bantuan bersama pengunjung lain untuk menyelamatkan tiga beradik itu.

Pegawai Operasi dan Bencana APM Manjung, Leftenan (PA) Shamsur Shahuddin berkata, pasukan penyelamat pantai APM yang menerima maklumat berhubung kejadian itu kemudiannya terus bergegas ke lokasi untuk memberi bantuan.

Menurutnya, tiga beradik itu dipercayai mandi di persisiran pantai sebelum secara tiba-tiba mereka terlepas pelampung yang digunakan.

“Tindakan pantas pegawai TLDM, orang ramai dan anggota pasukan penyelamat pantai APM memberikan bantuan berjaya menyelamatkan ketiga-tiga mangsa terbabit.

“Mereka berada dalam keadaan stabil dan seorang daripadanya dihantar ke hospital kerana mempunyai masalah asma,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 10:14 PM