Noor Hidayah Tanzizi

LELAKI ditemui lemas manakala rakannya masih hilang selepas mandi di Pantai Teluk Batik, Lumut hari ini.

S Emmanuel Raj, 21, ditemui lemas pada 6.55 petang manakala rakannya, R Vigneis,22, masih belum ditemui.

Difahamkan, kedua-dua mangsa terbabit ke pantai berkenaan bersama enam rakannya yang

lain.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Manjung Pegawai Bomba Kanan II Abdul Hazhar Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 6.09 petang.

Menurutnya, mangsa dihanyutkan arus ke tepi pantai dalam keadaan terapung sebelum pihaknya dengan bantuan orang awam membawa lelaki itu naik ke darat.

"Mangsa kemudiannya diberikan bantuan awal pernafasan oleh pasukan perubatan sebelum disahkan meninggal dunia pada 7.20 malam.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa giat dijalankan dalam lingkungan kawan 50 meter dari pantai dan lokasi dia dilaporkan hilang," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Abdul Hazhar berkata, mayat mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, SAR turut membabitkan Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) Pulau Pangkor, pihak polis, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan orang awam.

Sementara itu, rakan mangsa, S Rishethirabalan, 22, berkata, dia bersama tujuh rakan termasuk dua mangsa terbabit ke Teluk Batik dari Ipoh pada 2.30 petang.

"Ketika kejadian saya bersama lima rakan termasuk dua mangsa sedang mandi di pantai namun secara tiba-tiba ombak besar datang menarik kami.

"Ketika itu saya hanya sempat menyelamatkan seorang rakan saja kerana sudah sesak nafas dan letih, dua yang lain dapat selamatkan diri dengan berenang ke tepi pantai cuma mereka (kedua-dua mangsa) tidak dapat diselamatkan," katanya.

Pasukan SAR memantau kehilangan seorang lelaki di Pantai Teluk Batik, Lumut hari ini. Foto Noor Hidayah Tanzizi
Pasukan SAR memantau kehilangan seorang lelaki di Pantai Teluk Batik, Lumut hari ini. Foto Noor Hidayah Tanzizi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 9:26 PM