PEGAWAI APM menyelamatkan mangsa yang hanyut di laut akibat ribut  Monsun Timur Laut di Pantai Puteri, Tanjung Kling, hari ini. FOTO Hassan Omar
PEGAWAI APM menyelamatkan mangsa yang hanyut di laut akibat ribut Monsun Timur Laut di Pantai Puteri, Tanjung Kling, hari ini. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Melaka: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka meningkatkan kesiapsiagaan menyelamatkan mangsa lemas positif Covid-19.

Pengarahnya, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, perubahan Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut menjelang bulan hadapan mendedahkan orang ramai terutama penghuni di pinggir pantai kepada bahaya ribut.

Menurutnya, usaha menyelamat akan menjadi lebih mencabar sekiranya penghuni terbabit disahkan positif Covid-19 dan ditimpa bencana seperti angin kencang yang menyebabkan kediaman mereka roboh dan mereka tercampak ke laut.

"Berikutan itu, kami meningkatkan latihan menyelamatkan mangsa lemas di laut atau di kawasan banjir, malah kaedah menyelamatkan mangsa yang disahkan positif Covid-19.

"Tugas itu kami selaraskan dengan pembabitan pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)," katanya selepas menyaksikan simulasi menyelamatkan mangsa lemas akibat Monsun Timur Laut di Pantai Puteri, Tanjung Kling dekat sini, hari ini.

Simulasi berkenaan membabitkan empat pegawai dan 20 anggota APM yang menyelamatkan dua penghuni yang tercampak ke laut selepas kediaman mereka musnah dipukul ribut.

Pegawai dan anggota terbabit mempamerkan kecekapan menyelamatkan mangsa yang hanyut sebelum dibawa ke pantai untuk menjalani proses sanitasi pegawai APM yang lengkap memakai peralatan pelindung diri (PPE).

Selain itu, pegawai penyelamat turut disanitasi selepas selesai membawa mangsa ke kawasan selamat.

Beliau juga berkata, pegawai dan anggota APM akan meningkatkan pengawasan di pantai peranginan di negeri itu seperti di Klebang, Pengkalan Balak, Padang Kemunting, Tanjung Bidara dan Kuala Sungai Baru.

Untuk tujuan itu, APM akan mengemukakan permohonan kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk mendapatkan satu lagi menara tinjau di pantai Klebang.

"Setakat ini, menara seumpama itu cuma ada di Pantai Puteri, Tanjung Bidara dan Padang Kemunting yang dibina oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) beberapa tahun lalu.

"Dengan adanya menara tinjau, usaha pemantauan keselamatan pengunjung pantai mampu ditingkatkan bukan setakat untuk menyelamatkan mangsa lemas tetapi juga yang disengat obor-obor," katanya.

Beliau juga meminta orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika mandi laut dan berkhemah di pantai bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 3:20 PM