ANGGOTA penyelamat pantai APM mengguna peralatan penyelamat di pantai Teluk Cempedak, Kuantan. FOTO APM Pahang
ANGGOTA penyelamat pantai APM mengguna peralatan penyelamat di pantai Teluk Cempedak, Kuantan. FOTO APM Pahang
Asrol Awang


Kuantan: Tindakan pantas pasukan penyelamat pantai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyelamatkan dua beranak daripada lemas di pantai Teluk Cempedak di sini, semalam.

Difahamkan, berlaku kejadian ombak besar ketika lelaki berusia 35 tahun bersama anaknya berusia 10 tahun sedang mandi di pantai itu pada 2.40 petang.

Pegawai APM Kuantan Kapten (PA) Shaifu Nizam Ab Rahman berkata, kejadian itu disedari pengunjung pantai yang ternampak dua beranak itu berdepan kesukaran ketika mandi.

Menurutnya, berdasarkan makluman daripada orang ramai, anggota penyelamat berjaya membantu dua beranak itu daripada lemas.

"Berdasarkan laporan, mangsa dari Temerloh itu mandi dan kemudiannya secara tiba-tiba berdepan kesukaran kerana ombak besar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan, bendera merah dikibarkan di beberapa pantai di daerah ini termasuk Teluk Cempedak sebagai makluman kepada pengunjung.

Minggu lalu, Pengarah APM Pahang Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, sepanjang cuti perayaan itu, pasukan penyelamat pantai ditempatkan di beberapa pantai di daerah ini dan Rompin.

Katanya, antara pantai berkenaan ialah Cherating, Teluk Cempedak dan Tanjung Sepat, manakala di Rompin pula di pantai Hiburan di Kuala Rompin.

"Pasukan penyelamat akan bertugas pada 7 pagi hingga 7 malam untuk memastikan keselamatan pengunjung pantai kerana cuti panjang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2023 @ 1:37 PM