MOHAMAD Kamal (kanan) mewakili UiTM melakukan pertukaran Surat Hasrat bersama Presiden Zunyi Medical University, Liu Jian Guo. FOTO IHSAN UITM
MOHAMAD Kamal (kanan) mewakili UiTM melakukan pertukaran Surat Hasrat bersama Presiden Zunyi Medical University, Liu Jian Guo. FOTO IHSAN UITM
Amirul Aiman Hamsuddin


UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) meneruskan kerjasama erat dalam bidang pendidikan bersama China melalui The 12th China ASEAN Education Cooperation Week (CAECW) di Guiyang, China.

Program lima hari bermula 20 Julai lalu itu turut bermatlamat meraikan hubungan Diplomatik Malaysia China ke-45 diketuai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UiTM, Prof Dr Mohamad Kamal Harun.

Turut sama dalam program berkenaan adalah Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Prof Dr Azizul Halim Yahya; Pengarah Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa UiTM, Dr Zainab Mohd Noor dan Koordinator, Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa UiTM, Dr Siti Aekbal Salleh.

Education Malaysia Beijing (EMB) berjaya memperkasakan hubungan Pendidikan Malaysia China dengan membawa delegasi Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia CAECW selain disertai lebih 2,400 peserta dan pelawat dari pelbagai negara ASEAN.

Menurut Dr Mohamad Kamal, kepelbagaian bidang dan pengkhususan berjaya menarik minat beberapa universiti di Asean untuk berkolaborasi bersama UiTM.

“Disamping itu, ia turut membuka lebih luas peluang perkongsian ilmu khususnya bagi UiTM dalam bidang tumpuan dan fokus kepakaran institusi pengajian tinggi di Guiyang sebagai pusat kepada Big Data dan Artificial Intelligence.

“Selain itu, turut dibincangkan adalah kerjasama platform pembelajaran Kursus Terbuka Dalam Talian (MOOCs) dan meningkatkan mobiliti pelajar dan staf berkaitan pendidikan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

“Tidak ketinggalan juga, pembukaan program francais di wilayah Guizhou turut diadakan,” katanya.

UiTM turut menandatangani Surat Hasrat bersama sembilan institusi pengajian tinggi yang terdiri daripada Guizhou University; Guizho Minzu University; Guizho University of Finance and Economics dan Guizho Medical University.

Universiti lain adalah Zunyi Medical University; Guizhou Equipment Manufacturing Vocational College; Guizhou Preschool Education College; Guizhou Polytechnic of Construction dan Guizhou Light Industry Technical College.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 10:10 PM