UiTM SHAH ALAM. FOTO arkib NSTP
UiTM SHAH ALAM. FOTO arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki


UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) tersenarai pada kedudukan 401-600 daripada 766 institusi pengajian tinggi di dunia dan di tangga ke-10 di Malaysia untuk 2020 dalam penarafan Times Higher Education (THE) University Impact Ranking, yang diumumkan 22 April lalu.

Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim, berkata, dalam pengumuman yang dilakukan menerusi Webinar dari London, United Kingdom, UiTM mencapai kedudukan ke-74 untuk Kesamaan Jantina, kedudukan 101-200 untuk Pendidikan Berkualiti dan kedudukan ke-301-400 untuk Kesihatan Baik and Kesejahteraan.

Beliau berkata, kedudukan itu satu daripada pengiktirafan global dan petanda positif kepada keberkesanan pelbagai inisiatif UiTM ke arah menjadi universtiti terkemuka dunia menjelang 2025 seperti yang digariskan di dalam perancangan strategik UiTM2025 yang dilancar pada Februari lalu.

"THE University Impact Ranking yang diperkenalkan oleh Times Higher Education (THE) adalah satu inisiatif yang menilai pencapaian universiti terhadap 17 Matlamat Pembangunan Lestari yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) atau lebih dikenali sebagai 17 United Nation's Sustainable Development Goals (SDG).

"Prestasi UiTM dalam THE University Impact Ranking ini dinilai berdasarkan pencapaian terbaik di dalam empat SDG dengan SDG 17 adalah kategori SDG mandatori.

"Untuk penyertaan buat kali pertama pada tahun ini, UiTM menghantar data untuk 10 SDG," katanya dalam kenyataan, hari ini.

SDG itu adalah Tiada Kemiskinan atau No Poverty (SDG 1), Kesihatan Baik and Kesejahteraan atau Good health and well-being (SDG 3), Pendidikan Berkualiti atau Quality Education (SDG 4), Kesamaan Jantina atau Gender Equality (SDG 5), Kebersihan Air dan Sanitasi atau Clear Water and Sanitation (SDG 6), Tenaga Hijau dan Mampu Milik atau Affordable and Clean Energy (SDG 7), Kerja Memuaskan dan Pertumbuhan Ekonomi atau Decent Work And Economic Growth (SDG 8), Industri, Inovasi dan Infrastruktur atau Industry, Innovation, and Infrastructure (SDG 9), Pengurangan Ketidaksamaan atau Reduced Inequalities (SDG 10), dan Perkongsian Matlamat atay Partnerships For The Goals (SDG 17).

Beliau berkata, penyertaan dan pencapaian kepada kedudukan ini adalah isyarat jelas kesungguhan dan keyakinan UiTM berada pada landasan yang betul ke arah menjadi institusi pengajian tinggi terkemuka dunia.

"Ia akan memberi motivasi dan suntikan semangat kepada seluruh warga UiTM untuk menggiatkan lagi peranan masing-masing untuk memberikan impak sosial dan ekonomi yang lebih berkesan kepada masyarakat, negara seterusnya pada peringkat dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 12:44 PM