DARI kiri, Prof Madya Mahfudzah, Zaiton, Mohammad Faiz, Dr Hassan, Azlizan, Raja Azura dan Dr Yamin bergambar kenangan selepas majlis pertukaran kontrak antara UPESB dan MyPAC, baru-baru ini.
DARI kiri, Prof Madya Mahfudzah, Zaiton, Mohammad Faiz, Dr Hassan, Azlizan, Raja Azura dan Dr Yamin bergambar kenangan selepas majlis pertukaran kontrak antara UPESB dan MyPAC, baru-baru ini.
Nor Hanisah Kamaruzaman

INTEC Education College (INTEC) yang bernaung di bawah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Private Education Sdn Bhd (UPESB) menjalin kerjasama dengan Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) dalam usaha menambah bilangan akauntan bertauliah Bumiputera di negara ini.

Berikutan itu, satu majlis pertukaran kontrak antara UPESB dengan MyPAC diadakan di kolej berkenaan, baru-baru ini.

UPESB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UiTM Holdings, Azlizan Fadzil manakala MyPAC diwakili Pengerusinya, Datuk Zaiton Mohd Hassan yang disaksikan Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif INTEC Education College, Profesor Dr Yamin Yasin, Pengarah IPEC Education, Prof Madya Mahfudzah Mohamed, Ahli Lembaga MyPAC, Datuk Mohammad Faiz Azmi dan Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB), Raja Azura Raja Mahayuddin.

Pertukaran kontrak itu inisiatif kedua-dua pihak untuk mengendalikan program perakaunan profesional di Pusat Perakaunan Profesional (IPAC Education) INTEC.

IPAC Education menggalas tanggungjawab menjalankan Program Perakaunan Profesional bagi mempercepatkan pelaksanaan dasar dan saranan kerajaan untuk menjadikan pusat itu sebagai peneraju dan perintis program perakaunan khusus untuk pelajar Bumiputera.

Pusat berkenaan diwujudkan untuk memenuhi sasaran 60,000 akauntan bertauliah dan seterusnya mendukung pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi Negara (ETP).

Pertukaran kontrak itu turut menjadikan IPAC Education sebagai pusat pembelajaran untuk pelajar di bawah tajaan MyPAC.

Pada majlis sama, seramai 40 pelajar daripada pelbagai program di Kolej INTEC menerima anugerah kecemerlangan yang disampaikan Dr Hassan.

Penerima anugerah terdiri daripada pelajar cemerlang antaranya program American Degree Foundation Programme dan American Credit Transfer Programme dan A-Level.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2016 @ 5:51 AM