Pengunjung mencuba  kereta inovasi yang dipanggil  Olabot.
Pengunjung mencuba kereta inovasi yang dipanggil Olabot.

Shah Alam: Sebanyak 25 sekolah menengah dari seluruh negara terbabit dalam pertandingan ‘Science Technology Education Festival’ (SCITECH2017) yang bermula semalam hingga hari ini.

Program anjuran Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu bertujuan mengembalikan semula minat pelajar terhadap bidang sains dan teknologi berikutan jumlah yang mendaftar dalam bidang semakin berkurangan.

Koordinator Program Pendidikan Sains, Fakulti Pendidikan UiTM, Muhamad Furkan Mat Salleh berkata, SCITECH2017 dirangka bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kepentingan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM Education).

“Peserta perlu mengaplikasikan elemen sains melalui pertandingan disertai mereka antaranya roket air, kapal terbang kertas, drama sains, pameran serta pertandingan reka cipta dan inovasi.

“Pelajar perlu kreatif serta belajar teknik betul bagi memenangi pertandingan, contoh pertandingan roket air, peserta mengambil kira jumlah air, tekanan serta rekaan bagi membolehkan diterbangkan lebih tinggi,” katanya.

Muhamad Furkan berkata, pertandingan kapal terbang kertas yang dilihat terlalu mudah sebenarnya memerlukan kemahiran melipat dengan betul kerana bentuk kapal terbang memainkan peranan penting supaya dapat diterbangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 4:39 AM