BERGAMBAR kenangan bersama tetamu daripada universitas Indonesia yang mengambil bahagian.
BERGAMBAR kenangan bersama tetamu daripada universitas Indonesia yang mengambil bahagian.
Ruhaiza Rusmin


Bertujuan memperkukuhkan jalinan kerjasama serantau dalam kalangan negara Asia Tenggara (ASEAN) menerusi pendidikan, Universiti Teknologi Mara ( UiTM) menganjurkan Pameran Pendidikan Seni Rupa ASEAN 2016, di Gedung Muzium Pendidikan Nasional Universitas Pendidikan Indonesia, Bandung Indonesia, baru-baru ini.

Pameran kali kedua itu dianjurkan dengan kerjasama Fakultas Pendidikan Seni dan Desain, Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) serta Fakultas Bahasa dan Seni Universitas Negeri Yogyakarta (UNY).

Bertemakan Kearifan Budaya Lokal Sebagai Kekuatan Bangsa Asia Tenggara, pameran berkenaan juga menyasarkan matlamat menjalin kerjsama meluas dalam bidang seni dan warisan dalam kalangan warga pendidikan tinggi universiti ASEAN.

Pensyarah Program Pendidikan Seni dan Senireka Fakulti Pendidikan UiTM, Badrul Isa berkata, program itu diharap memberi pendedahan lebih luas kepada peserta berkenaan seni karya kreatif selain memberi peluang masyarakat mengenali komuniti ASEAN.

“Ia juga mampu menjadi landasan memperluaskan lagi usaha pengembangan budaya bukan saja di ASEAN, malah hingga ke peringkat global.

“Kami berusaha memperluaskan lagi konsep pendidikan tinggi dan tidak hanya tertakluk pada akademik semata- mata, malah boleh merangkumi pelbagai aspek termasuk seni,” katanya.

Sebanyak 110 karya seni rupa daripada pelbagai bentuk dihasilkan menerusi kreativiti pensyarah, guru seni reka, guru seni visual dan siswa turut dipamerkan.

Pameran ini turut dilaksanakan sempena Bandung ISOLA Performing Arts Festival ( BIPAF 2016 ) membabitkan penyertaan beberapa universiti dari Korea.

Selain pameran seni rupa, BIPAF 2016 turut menampilkan kegiatan seni persembahan teater, wayang kulit dan tarian tradisional masyarakat Jawa serta Sunda.

Seramai 15 siswa Fakulti Pendidikan UiTM di bawah Creative Media & Technology Hub (CMT) UiTM menyertai delegasi Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 5:59 AM