ANGGOTA PPM menunjukkan telur penyu yang dirampas. FOTO Ihsan PPM.
ANGGOTA PPM menunjukkan telur penyu yang dirampas. FOTO Ihsan PPM.
Fardy Bungga


CUBAAN sindiket menyeludup masuk 7,000 telur penyu bernilai RM12,600 gagal selepas dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan Sungai Batu 2, Sandakan, semalam.

Kejadian berlaku pada 2.30 pagi ketika bot pam sarat muatan itu memasuki perairan dipercayai dari Filipina.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, rampasan itu hasil risikan dan pantauan Unit Risikan Marin (URM).

“Ketika itu bot itu dengan dua enjin memecut laju dan terkandas di kawasan ceter sungai berkenaan.

“Anggota segera bertindak dan mendapati ia dipercayai dari Filipina, membawa 7,000 telur penyu untuk pasaran tempatan.

“Juragan yang disyaki pemilik telur penyu itu bertindak melarikan diri selepas botnya terkandas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, hasil keseluruhan telur penyu dan bot dianggarkan RM16,000 dan semua rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan bagi proses dokumentasi

Katanya, kes diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) Lahad Datu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1)(4)(a) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM250,000 serta boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 9:47 AM