ANGGOTA Pasukan Polis Marin (PPM) menunjukkan telur penyu yang dirampas dipercayai cuba diseludup daripada negara jiran menerusi perairan Sungai Batu Putih, di Sandakan. FOTO Ihsan PPM
ANGGOTA Pasukan Polis Marin (PPM) menunjukkan telur penyu yang dirampas dipercayai cuba diseludup daripada negara jiran menerusi perairan Sungai Batu Putih, di Sandakan. FOTO Ihsan PPM
Poliana Ronnie Sidom


PASUKAN Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan menyeludup masuk 2,000 biji telur penyu menerusi perairan Sungai Batu Putih, di Sandakan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi, sepasukan anggota PPM yang membuat intipan dan pemantauan Op Pensura di perairan itu mengesan bot pam dalam keadaan mencurigakan daripada laut lepas menuju ke Sungai Batu Putih.

Sebaik menyedari kehadiran pasukan keselamatan, juragan memecut bot pam ke Sungai Batu Putih, sebelum terjun ke sungai dan gagal dikesan.

Pemangku Komander PPM Wilayah 4, Superintendan Mohd Nasir Othman berkata, pemeriksaan lanjut ke atas bot itu kemudian menemui empat karung berisi telur penyu dipercayai cuba diseludup dari negara jiran.

“Pemeriksaan turut mendapati bot pam itu menggunakan nombor pendaftaran Filipina.

“Nilai telur penyu dianggarkan berjumlah RM4,000. Semua barang rampasan dibawa ke markas operasi PPM Sandakan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 10:45 AM