PPM memeriksa bungkusan hitam mengandungi telur penyu di Sungai Batu Tiga, Sandakan. FOTO IHSAN PPM
PPM memeriksa bungkusan hitam mengandungi telur penyu di Sungai Batu Tiga, Sandakan. FOTO IHSAN PPM
Hazsyah Abdul Rahman


SEORANG juragan sanggup menanggung kerugian dengan meninggalkan telur penyu bernilai RM2,000 bagi mengelak daripada ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di Sungai Batu Tiga, Sandakan, semalam.

Dalam kejadian 3 petang, sebanyak 1,000 biji telur penyu ditinggalkan di tepi parit sejurus menyedari anggota PPM menghampiri kawasan berkenaan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, sebelum kejadian pihaknya menerima maklumat risikan dan bertindak menyerbu lokasi berkenaan.

“Bagaimanapun kehadiran anggota PPM disedari juragan bot yang kemudiannya bertindak memecut bot meninggalkan beberapa kotak mengandungi plastik hitam berisi 1,000 biji telur penyu.

“Kita percaya juragan bot adalah pemilik telur penyu dan cuba diseludup masuk dari Filipina untuk dipasarkan kepada orang ramai di sekitar pasar daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Mohamad berkata, semua rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.

“Hasil rampasan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sandakan dan kes disiasat mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 1:49 PM