NAJIB (kiri) ketika hadir di mahkamah. FOTO Zunnur Al Shafiq
NAJIB (kiri) ketika hadir di mahkamah. FOTO Zunnur Al Shafiq
Murni Wan Omar


SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa ahli perniagaan, Low Taek Jho (Jho Low) adalah antara individu yang dihubungi oleh AmBank bagi menyelesaikan masalah membabitkan isu pengeluaran wang melebihi dana daripada akaun milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pengurus Perhubungan Ambank, Joaana Yu Ging Ping, berkata walaupun Jho Low tidak diberikan mandat bagi akaun itu, tetapi lelaki yang menjadi buruan negara itu membantu pembukaan akaun Najib.

“Ada beberapa keadaan saya tidak dapat menghubungi bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil (pemegang mandat akaun Najib) saya akan menghubungi Jho Low.

“Jho Low akan menghubungi Nik Faisal dan menyelesaikan masalah itu. Ini adalah kerana Jho Low sentiasa berhubung dengan Nik Faisal dan Najib,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram.

Yu berkata sebagai pengurus akaun Najib, beliau akan akan cuba menyelesaikan masalah dan mengelakkan daripada sebarang ‘cek tendang’ akibat dana tidak mencukupi di dalam akaun.

“Bila dana tidak mencukupi di dalam bank, kami tidak rasa sebagai Perdana Menteri cek tendang adalah bagus. Kita tidak mahu keluar Perdana Menteri Malaysia tidak mempunyai dana mencukupi.

“Sebab itu saya akan menghubungi Nik Faisal atau Jho Low berhubung isu ini terutamanya membabitkan cek,” katanya.

Menjawab soalan Sithambaram, saksi berkata hanya Najib menjadi penandatangan sah dan mengeluarkan cek manakala Nik Faisal hanya boleh menyampaikan arahan kepadanya.

Malah katanya, Nik Faisal juga tidak boleh mengeluarkan duit daripada akaun semasa Najib.

Menurut Yu, lazimnya bayaran tunai dibuat ke dalam akaun Najib apabila terdapat pengeluaran dana berlebihan daripada jumlah akaun atau tidak mencukupi.

Yu juga menafikan soalan Sithambaram bahawa beliau adalah ‘penyangak’ yang berkonspirasi dengan Jho Low untuk memanipulasikan akaun Najib.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 8:50 PM