LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Raja Noraina Raja Rahim


LELAKI warga emas yang ditahan polis selepas disyaki melakukan gangguan seksual dan mencabul kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, disambung reman tujuh hari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Wan Rukman Wan Hassan berkata, suspek berusia 65 tahun terbabit disambung reman bermula hari ini sehingga 22 Julai.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kelakuan suspek terhadap mangsa yang video kejadian itu tular di Facebook, minggu lalu.

“Siasatan hampir selesai dan kita (polis) akan rujuk kes itu kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut.

“Berdasarkan siasatan dilakukan mendapati tiada kes membabitkan mangsa lain dan polis juga tidak menemui rakaman video lain terhadap mangsa sama. Bagaimanapun, siasatan masih berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Rukman berkata, kanak-kanak perempuan terbabit sudah dibenarkan keluar hospital, namun masih di bawah pemantauan polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Terdahulu, suspek yang bekerja sebagai pemandu lori ditahan polis di Lebuhraya Utara Selatan dekat Gopeng, Perak, 9.20 malam pada 9 Julai lalu.

Sepasukan polis menjalankan siasatan berjaya mengesan suspek yang dalam perjalanan ke Padang Besar, Perlis, untuk menghantar barang lalu memintas kenderaan suspek dan menahannya.

Katanya, penahanan itu susulan laporan dibuat ibu mangsa berusia 49 tahun selepas melihat video tular yang memaparkan anak perempuannya dipaksa melakukan kelucahan melampau oleh suspek di dalam kereta Proton Waja di parkir di Seremban.

Berita berkaitan

Atok miang ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 2:35 PM