Raja Noraina Raja Rahim


DUA lelaki ditahan polis di pusat beli-belah di Seremban, petang ini, selepas dipercayai melarikan kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dari Kuarters Politeknik Port Dickson, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Port Dickson Deputi Superintendan Rugiman Agus berkata, penuntut institusi pengajian tinggi berusia 18 dan 21 tahun terbabit ditahan ketika sedang membeli tiket menonton wayang, jam 4.45 petang.

Menurutnya, kedua-dua suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian melarikan kanak-kanak perempuan selama lebih 15 jam sebelum kanak-kanak itu ditinggalkan di tepi jalan berhampiran pondok pengawal keselamatan kuarters berkenaan.

"Polis masih belum mengklasifikasikan kejadian itu sebagai culik sehingga siasatan ke atas suspek dilakukan.

"Setakat ini, siasatan dilakukan menjurus kepada melarikan orang mengikut Akta Kanak-Kanak 2001," katanya ketika dihubungi, malam ini.

Difahamkan, permohonan reman ke atas kedua-dua suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Port Dickson, esok.

Dalam kejadian awal pagi semalam, Faralisya Amani Fazil disedari hilang dari bilik tidur oleh bapa yang mahu mengejutkannya sebelum laporan polis dibuat dan usaha mencari mangsa dilakukan.

Bagaimanapun, Faralisya ditemui semula dalam keadaan selamat kira-kira jam 9 malam semalam, selepas ditinggalkan oleh suspek yang menaiki kereta kia warna perak di tepi jalan berhampiran pondok pengawal kuarters berkenaan dan pemeriksaan ada kesan jerutan pada kedua tangan serta kaki.

Mangsa yang masih trauma dengan kejadian itu kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban.

Berita berkaitan:

‘Penculik tu tunjuk pisau’

Alhamdulillah Faralysa ditemui selamat [METROTV]

Di mana Faralysa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 11:15 PM