Laporan portal berita Harian Metro semalam.
Laporan portal berita Harian Metro semalam.
Siraj Mohd Zaini


PERSELISIHAN faham menjadi motif utama pasangan warga asing berusia 40-an mati dalam keadaan mengerikan di sebuah rumah di Jalan Kampung Tali Air, Kuala Langat semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman berkata, siasatan polis mendapati lelaki warga India itu tidak berpuas hati kerana akan berpisah dengan teman wanitanya.

Menurutnya, wanita warga Indonesia itu menyatakan akan pulang ke kampung halamannya dalam masa beberapa hari lagi.

“Berlaku pertengkaran antara mereka dan lelaki bertindak memukul wanita itu di kepala dengan besi.

“Bagaimanapun, hasil bedah siasat di Hospital Banting petang tadi mendapati punca kematian bukan disebabkan pukulan di kepala tetapi dia mati akibat dicekik serta dijerut di leher dengan tali,” katanya.

Beliau berkata, lelaki terbabit berkemungkinan menjadi panik selepas wanita itu mati sebelum bertindak menggantung dirinya.

“Kes diklasifikasikan sebagai selesai,” katanya.

Dalam kejadian pada 5.20 petang itu, mayat lelaki ditemui tergantung di hadapan pintu bilik manakala wanita itu terbaring di tilam berlumuran darah.

Kedua-dua mangsa tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan dipercayai warga asing kerana tiada suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin) pada lengannya.

Kejadian itu disedari pemilik rumah yang datang ke kediaman itu dan mangsa menyewa rumah berkenaan sejak sebulan lalu.

Berita berkaitan

Ngerinya...

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 11:39 PM