Shahidan Ishak
Shahidan Ishak
Syuhada Choo Abdullah


Makkah: Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan aplikasi e-Bimbingan Haji, tahun ini, sebagai pendekatan baharu bagi membantu jemaah membuat rujukan serta mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan ibadah.

Pengarah Operasi Teknologi Maklumat bagi Musim Haji 1444H/2023M, Shahidan Ishak berkata, inisiatif itu membolehkan dan memudahkan jemaah haji merujuk modul bimbingan dimuatkan dalam aplikasi terbabit, sama ada sebelum berlepas mahupun ketika berada di Tanah Suci nanti.

"Ia merupakan antara inisiatif Jabatan Haji TH yang bukan saja amat memudahkan jemaah haji tetapi juga memudahkan tindakan mengemas kini maklumat berkaitan ibadah itu," katanya pada sidang media di ibu pejabat operasi haji Malaysia di bangunan Abraj Al-Janadriyah di sini, lewat petang semalam (waktu tempatan).

Berdasarkan maklumat dalam laman sesawang TH, e-Bimbingan Haji adalah satu sistem pengurusan pembelajaran digital yang dibangun bagi menyediakan platfom khusus untuk bakal jemaah haji tahun semasa, Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA), petugas haji serta pengguna umum yang bakal menunaikan haji atau umrah.

Sistem itu membantu pengguna mempelajari ilmu berkaitan haji, dengan lebih mudah secara dalam talian.

Antara perkhidmatan ditawarkan dalam e-Bimbingan Haji ialah Kursus Asas, Intensif dan Perdana Haji; Kursus Tauliah Haji dan Umrah; Kursus Teras Petugas Haji; dan Program Pengukuhan Petugas Haji Tanah Suci, mengikut kumpulan penggunanya.

"Oleh itu, saya mengesyorkan bakal jemaah haji di tanah air serta mereka yang berada di Tanah Suci nanti, supaya menggunakan sepenuhnya aplikasi ini. Ia memberi banyak manfaat sebagai panduan lengkap ibadah ini," katanya.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, pasukan teknologi maklumat (IT) bagi operasi haji tahun ini telah melakukan penambahbaikan utama termasuk pada beberapa aplikasi penting, antaranya sistem khidmat pelanggan yang meliputi sistem aduan dan Sistem 'Hajj Mobility'.

Beliau berkata, aplikasi Sistem 'Hajj Mobility' yang diperkenalkan pada tahun lalu ditambah baik secara berterusan, termasuk dari segi modul bagasi bagi musim haji kali ini, malah kini boleh turut diakses Sistem Operasi iPhone (IOS) berbanding hanya android sebelum ini.

"Penambahbaikan dibuat dari semasa ke semasa berdasarkan maklum balas diperoleh daripada operasi haji sebelum ini," katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, jemaah haji disyorkan membuat persediaan awal dengan memuat turun pelbagai aplikasi penting yang boleh memudahkan mereka dalam menjalani ibadah di Tanah Suci.

"Jika aplikasi itu tidak digunakan sepenuhnya oleh jemaah haji, ia agak merugikan. Kita menerima maklum balas yang baik daripada jemaah bahawa aplikasi disediakan itu sangat membantu mereka dalam melakukan ibadah dan menjalani aktiviti di Tanah Suci," katanya.

Ditanya kemungkinan ada jemaah haji terutama dalam kalangan warga emas yang kurang mahir menggunakan aplikasi terbabit pula, Shahidan menjelaskan, kemudahan disediakan itu adalah sangat mesra pengguna.

"Antara aplikasi awal diperkenalkan TH ialah THiJARI di mana sistem itu amat mudah digunakan, seperti untuk membuat semakan tawaran haji, rayuan haji dan sebagainya. Pada zaman sekarang, penggunaan sistem teknologi ialah antara keperluan penting untuk rujukan dan membantu proses yang diperlukan.

"Justeru, saya melihat ia tidak menjadi masalah kerana sistem itu memang disediakan untuk pelbagai peringkat umur pengguna," katanya.

Bagaimanapun, Shahidan berkata, semua petugas operasi haji tetap berperanan membantu jemaah yang memerlukan rujukan dalam penggunaan teknologi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 1:29 PM