Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Aizuddin Saad
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Aizuddin Saad
Hairulazim Mahmud dan Yusmizal Dolah Aling


DEWAN Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 selepas dibahas lima jam hari ini.

Seramai 17 ahli parlimen menyertai perbahasan antaranya Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar); Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN- Lenggong); Mas Ermieyati Samsuddin (PH - Masjid Tanah); P Prabakaran (PH-Batu) dan Noor Amin Ahmad (PH-Kangar).

Pelbagai reaksi diberikan Ahli Dewan Rakyat antaranya Mohd Shahar yang menyifatkan pindaan itu dibuat secara tergesa-gesa dan sewajarnya mendengar pertimbangan Majlis Belia Malaysia (MBM) selaku badan yang terbabit ketika pembentukan akta ini satu masa lalu.

Katanya, dia menerima makluman daripada pengurusan tertinggi yang memaklumkan tiada perbincangan bersama berhubung pindaan itu.

Bagi Shamsul Anuar Nasarah, jika perubahan drastik dibuat dari segi lingkungan usia, akan berlaku kelompongan besar bagi gerakan belia dalam negara.

“Ia perlu dilakukan secara berstrategi bukannya drastik. Kita bimbang gerakan belia akan terjejas,” katanya.

Sementara itu bagi Noor Amin, pindaan RUU berkenaan membolehkan generasi muda mendapat peluang untuk mempersiapkan diri menjadi pemimpin negara pada masa depan.

Menurutnya, sudah sampai masanya ruang sepenuhnya diberikan kepada golongan belia di bawah usia 30 tahun kerana ia adalah waktu terbaik untuk menyumbang kepada masyarakat.

Bagi P Prabakaran, selari dengan kecanggihan teknologi, golongan belia tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan maklumat secara dalam talian.

“Saya melihat ia satu peluang baik kerana proses mendayakan belia akan sentiasa berlaku dan pimpinan terus mencari pelapis tanpa henti. Bagaimanapun, saya melihat usia 35 tahun lebih matang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 8:13 PM