GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kenaikan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada enam kepada lapan peratus berkuat kuasa 1 Mac lalu tidak memberi impak ketara kepada inflasi dengan anggaran sekitar 0.2 peratus, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, kenaikan kadar cukai perkhidmatan lebih menumpukan kepada aktiviti berkaitan perkhidmatan berkemahuan dan aktiviti antara perniagaan yang kurang membabitkan rakyat secara langsung.

"Perbelanjaan makanan dan minuman serta telekomunikasi tidak dinaikkan, kekal enam peratus. Perbelanjaan utiliti seperti air dan petrol kekal dan tidak dikenakan cukai perkhidmatan, ini harus jelas kerana banyak kekeliruan.

"Jadi kebimbangan kita ialah impak inflasi. Kita tidak nafikan bahawa ada juga kesan tetapi setakat ini mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia kesannya sekitar 0.2 peratus," katanya sewaktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai terhadap kos sara hidup rakyat dan kos pengeluaran industri akibat kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada enam kepada lapan peratus.

Mohd Shahar turut bertanyakan berapakah jumlah tambahan kutipan hasil negara daripada pelaksanaan semua langkah cukai baru bagi tahun 2024.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, melalui skop dan perubahan kadar cukai perkhidmatan berkenaan, kerajaan dijangka akan mengutip hasil berjumlah RM3 bilion.

"Melalui skop dan perubahan kadar cukai perkhidmatan ini, kerajaan menjangkakan akan mengutip hasil berjumlah RM3 bilion," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 12:01 PM