ANTARA murid yang terjejas dipercayai akibat terhidu gas beracun. FOTO Facebook Shahfudin Sudin
ANTARA murid yang terjejas dipercayai akibat terhidu gas beracun. FOTO Facebook Shahfudin Sudin
Nurul Amanina Suhaini


“SAYA nampak kawan muntah, ada yang terbaring. Saya takut melihat keadaan itu dan cikgu hanya meminta saya menunggu,” kata Muhamad Addam Azfar Azlan, 8, ketika ditemui di Sekolah Agama (SA) Taman Mawar di Pasir Gudang, hari ini.

Muhamad Addam memberi reaksi itu berikutan insiden 15 murid SA Taman Mawar mengalami simptom sesak nafas dan muntah dengan lima daripada mereka dihantar ke hospital petang hari ini, dipercayai akibat pencemaran udara.

Dia yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4 berkata, sebelum kejadian sekolah berjalan seperti biasa dan semua belajar di kelas masing-masing.

“Saya datang ke sekolah seperti biasa. Masuk ke kelas seperti biasa sebelum cikgu panggil untuk berkumpul di dewan sekolah.

“Ketika di dewan, saya nampak kawan saya muntah, ada yang terbaring. Selepas itu saya bersama kawan-kawan dibawa ke SA Taman Mawar,” katanya.

Sebaik tiba di SA Taman Mawar itu, Muhamad Addam diserahkan kepada ibunya, Nurul Aisyah Mohd Ramli, 33.

Menceritakan lanjut, Nurul Aisyah berkata, dia yang bekerja ketika itu bergegas ke SA Taman Mawar sebaik dimaklumkan pengurusan SK Pasir Gudang 4 untuk berbuat demikian.

Katanya, pengurusan sekolah meminta ibu bapa mengambil anak masing-masing di SA Taman Mawar kerana SK Pasir Gudang 4 ditutup bagi membantu siasatan.

“Anak mengalami simptom muntah dan loya sebelum diperiksa kakitangan hospital. Alhamdulillah, anak saya baik dan tidak mengalami masalah lain.

“Kakitangan yang merawatnya memaklumkan anak saya boleh dibawa pulang, namun sekiranya terdapat simptom seperti dinyatakan, segera pergi ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk menjalani pemeriksaan lanjut,” katanya.

Kedudukan kedua-dua sekolah itu hampir tujuh kilometer dari Sungai Kim-kim, kawasan berlaku pencemaran toksik 7 Mac lalu hingga menyebabkan 2,775 orang awam menerima rawatan dan sembilan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Dalam kejadian itu, kawasan sepanjang 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim tercemar akibat pembuangan sisa toksik menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah sehingga kesemua 111 sekolah di seluruh Pasir Gudang diarahkan ditutup sementara.

Selain sekolah, 92 tadika dan taska serta institut pengajian tinggi awam (IPTA) ditutup bagi mengelak lebih ramai mangsa terjejas dan kerja membersihkan membabitkan sebanyak 900 tan tanah tercemar bersama selut dan 1,500 tan air tercemar daripada dasar sungai dikumpul sebelum dilupuskan kontraktor dilantik kerajaan.

Hari ini, Kementerian Kesihatan tidak menolak kemungkinan kejadian sesak nafas dan muntah dialami 15 murid itu seakan sama dengan simptom kesan pencemaran Sungai Kim Kim sebelum ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dipetik sebagai berkata, pihaknya baru dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan dan akan berhubung dengan Pengarah Kesihatan Negeri bagi mengetahui situasi semasa.

“Berdasarkan maklumat awal daripada simptom dialami murid seperti muntah dan sesak nafas, kemungkinan besar berpunca dari pencemaran gas organik, sama seperti kes Sungai Kim Kim,” katanya pada sidang media, hari ini.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 7:35 PM