Pasukan keselamatan ke Sekolah Agama Taman Mawar selepas menerima laporan murid sesak nafas dan sakit kepala dipercayai terhidu gas bocor. FOTO Zain Ahmed
Pasukan keselamatan ke Sekolah Agama Taman Mawar selepas menerima laporan murid sesak nafas dan sakit kepala dipercayai terhidu gas bocor. FOTO Zain Ahmed
Mohd Sabran Md Sani dan Nurul Amanina Suhani


“SAYA ingatkan bau sembur nyamuk, rupanya bau meloyakan,” kata Nuraisah Palawi, 40, antara ibu kepada 15 murid yang mengalami simptom muntah dan sesak nafas di Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang hari ini.

Nuraisah berkata, anak saudaranya, Ahmad Ghanidi Imran, 8, ketika itu berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4, di sini bagi menyertai jamuan hari raya anjuran sekolah.

“Pada 9 pagi, anak saya, Nurul Iman Umairah Mahmud, 6, yang bersekolah di Sekolah Agama Taman Mawar hadir seperti biasa namun sebelah petang, ketika saya mahu menghantar anak saudara ke SK Pasir Gudang 4 bersama bekalan makanan bagi meraikan jamuan, tiba-tiba saya bau busuk.

“Saya ingatkan bau sembur nyamuk, saya abaikan dan membuat kerja rumah di Flat Taman Mawar, tiba-tiba bau itu semakin kuat sekitar 3 petang sebelum melihat gambar murid terbaring dari aplikasi WhatsApp,” katanya ketika ditemui di Sekolah Agama Taman Mawar hari ini.

Suri rumah itu berkata, dia membawa pakaian bersih dan peralatan kecemasan kerana khuatir perkara buruk berlaku kepada anak saudaranya.

“Apabila tiba di SK Pasir Gudang 4, orang ramai memaklumkan murid yang terjejas dipindahkan ke Sekolah Agama Taman Mawar.

“Saya bergegas ke sekolah itu dan mendapati ambulans keluar masuk dan orang ramai mengerumuni kanak-kanak yang ‘dibungkus’ ‘kain putih’.

“Saya nampak hampir 10 kanak-kanak berubah pucat, berpeluh dan menangis ketakutan.

“Mujurlah Ahmad Ghadani tidak kritikal dan jururawat yang memeriksanya memaklumkan jika sakit di rumah, segera bawa ke hospital.

“Sekolah ditutup petang tadi dan ibu bapa diminta membawa pulang anak masing-masing,” katanya.

Suri rumah, Suhana Abdullah, 33, berkata, fobia Sungai Kim Kim baru saja berakhir namun kini penduduk berdepan episod baru.

Ibu kepada pasangan kembar, Nor Imelda dan Nor Emelia Mohd Nizam, 7, berkata, mereka dimaklumkan mengenai kejadian itu yang dikongsi menerusi kumpulan WhatsApp sekolah.

“Dalam kumpulan sekolah itu, guru mengarahkan ibu bapa mengambil anak-anak selepas dipercayai berlaku kebocoran gas.

“Saya tertidur dan selepas jiran memaklumkan perkara itu, saya bergegas ke sekolah untuk mengambil anak kembar serta anak jiran.

“Pagi tadi, kejadian lebih buruk berlaku di Sekolah Agama Taman Mawar hingga mengakibatkan ramai terpaksa dikejarkan ke hospital akibat terhidu gas.

“Mungkin panik lihat rakan-rakannya muntah, anak kembar saya turut sama menangis, namun tidak berdepan masalah sebelum dibawa pulang,” katanya ketika ditemui di SK Pasir Gudang 4.

Menurutnya, bau busuk seakan kebocoran gas bagaikan fenomena biasa kepada penduduk kawasan berkenaan namun tidak membimbangkan.

“Kami (penduduk) ingatkan ia normal kerana sudah menghidu bau seakan gas bocor sejak sekian lama, hinggalah baunya kuat sedikit hari ini dan murid berasa loya, muntah dan pening kepala,” katanya.

Difahamkan kesan loya, pening dan muntah dirasai murid yang berada di tingkat atas bangunan di kedua-dua sekolah terbabit.

Sementara itu, tinjauan di SK Pasir Gudang 4 mendapati ibu bapa mengambil anak masing-masing sejak jam 5 petang ini dan kelihatan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memeriksa kualiti udara di sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, usaha mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kejadian itu gagal mendapat reaksi positif daripada pengurusan sekolah selain diminta anggota polis meninggalkan kawasan sekolah atas arahan pihak atasan.

Penduduk mendakwa punca bau busuk dipercayai pencemaran di Sungai Buloh dan Sungai Pasir Gudang Baru di kawasan berhampiran.

Pada 7 Mac lalu, kawasan sepanjang 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim tercemar akibat pembuangan sisa toksik yang menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 7:10 PM