GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hadzlihady Hassan


BIMBANG anaknya menjadi mangsa culik, bapa membuat laporan polis selepas curiga melihat kereta yang menahan anak sulungnya di Jalan Sungai Pinang, di Balik Pulau, semalam.

Bagaimanapun, siasatan polis mendapati kejadian itu hanya salah faham kerana pemandu kereta terbabit bersama isteri sebenarnya bertanyakan arah jalan ke dusun durian di kawasan berhampiran.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, bapa kanak-kanak terbabit yang juga nelayan pada mulanya menghantar anak kedua ke sekolah agama pada 2.50 petang sebelum ternampak anak sulung yang menunggang basikal ditahan kereta.

Menurutnya, bapa kanak-kanak itu sempat melihat pemandu dan penumpang kereta terbabit bertanyakan sesuatu kepada anak sulungnya itu.

“Lelaki terbabit yang bimbang melihat keadaan itu terus mengarahkan anaknya supaya meneruskan perjalanan ke sekolah dan dia juga cuba menghampiri kereta terbabit.

“Dia cuba mengekori dan menahan kereta terbabit, namun pemandunya meneruskan perjalanan sebelum lelaki itu membuat laporan polis kerana bimbang ia adalah sindiket penculikan kanak-kanak,” katanya.

Anbalagan berkata, pada hari yang sama 6.20 petang, pemandu kereta berkenaan diberitahu adik perempuannya yang gambar kereta dan wajahnya tular di Facebook (FB) sebagai suspek kes culik kanak-kanak.

“Pemandu kereta terbabit yang bimbang kerana didakwa sebagai penculik kemudian turut membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

“Pemandu itu juga mengaku dia bersama isteri ada menahan kanak-kanak berkenaan untuk bertanya arah jalan ke dusun durian, namun disebabkan dia seperti keliru, mereka terus meninggalkan tempat terbabit,” katanya.

Menurutnya, polis juga sudah membuat pemeriksaan dan mendapati pemandu kereta itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 11:43 AM