GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Fitri Nizam


POLIS menafikan kejadian kehilangan murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Pusat, Jertih, bermotifkan culik seperti yang tular di laman sosial, sebaliknya ia berkemungkinan disebabkan silap naik kereta.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, berdasarkan siasatan, pihaknya percaya kes terbabit berpunca daripada kesilapan kanak-kanak perempuan itu dan pemandu kenderaan berkenaan.

“Berdasarkan siasatan, polis mendapati kanak-kanak itu sendiri menaiki kereta terbabit ketika ia berhenti di hadapan sekolah berkenaan.

“Murid itu kemudiannya ditinggalkan di tepi jalan berhampiran kawasan rumahnya.

“Bagaimanapun, polis meminta pemandu kereta terbabit tampil untuk memberi keterangan supaya kes dapat diselesaikan dengan segera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menceritakan kejadian, bapa kanak-kanak itu, Abdul Hafiz Musa, 36, berkata anak berusia tujuh tahun tamat sesi persekolahan kira-kira jam 1.15 tengah hari semalam.

Bagaimanapun ketika isterinya pergi ke sekolah untuk mengambil anak mereka, kanak-kanak itu tiada di kawasan sekolah.

Katanya, ketika isterinya mencari anaknya, seorang murid memaklumkan kanak-kanak itu sudah pulang dengan menaiki sebuah kereta berwarna hitam.

“Sebaik dimaklumkan oleh isteri mengenai kejadian itu, saya terus membuat laporan di Balai Polis Jertih, namun kira-kira jam 2.30 petang kami dimaklumkan anak ditemui bersendirian di kawasan kedai makan dekat Jalan Gong Kemutong.

“Sehingga kini kami masih tidak tahu motif kejadian, namun jika benar pemandu itu tersilap membawa anak saya, kenapa tinggalkan dia bersendirian di kawasan itu dan tidak menghantarnya semula ke sekolah.

“Bagaimanapun, kami amat bersyukur kerana anak selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 8:02 PM