MENYELAM Di Pulau Mataking.
MENYELAM Di Pulau Mataking.
Roslina Jaapar


SABAH antara negeri yang unik kerana terkenal dengan keindahan pulau menarik yang menjadi habitat kepada pelbagai jenis hidupan marin.

Terdapat beberapa pulau di negeri itu yang menjadi tumpuan bukan sahaja penduduk tempatan malah menjadi tarikan orang luar.

Penulis sendiri sebagai penduduk tempatan yang sering ke pulau ini tidak pernah jemu untuk berulang-alik kerana tertarik dengan keindahan dan keunikannnya.

Antara tiga daerah yang dikelilingi dengan pulau-pulau yang menarik ialah Semporna, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Seterusnya, antara pulau di Semporna yang sering dikunjungi ialah Pulau Bohey Dulang, Pulau Mantabuan, Pulau Sibuan, Pulau Mabul, Pulau Kapalai, Pulau Mataking, Pulau Timba-Timba dan Pulau Pom-Pom.

Pulau-pulau di Semporna digelar seakan Pulau Maldives dengan kejernihan air lautnya.

Di Pulau Bohey Dulang pula, dengan mendaki lebih kurang 30 minit anda dapat menikmati pemandangan indah lautan di Semporna yang luas ditambah lagi dengan air laut kebiruan dan sekali pandang ada panorama kehijauan.

Selepas itu, perjalanan diteruskan ke Pulau Mantabuan dan Pulau Sibuan. Kedua-dua pulau ini menjadi tarikan untuk bergambar kerana kejernihan air lautnya sambil menikmati angin laut yang tenang dan agak bergelora pada sebelah petang.

Pulau-pulau lain juga memiliki keindahan tersendiri yang mana antara aktiviti tambahan boleh lakukan ialah aktiviti menyelam.

PEMANDANGAN dari atas bukit Pulau Bohey Dulang.
PEMANDANGAN dari atas bukit Pulau Bohey Dulang.

Antara pulau yang sering menjadi destinasi untuk menyelam ialah Pulau Sipadan, Pulau Mabul, Pulau Kapalai, Pulau Mataking dan Pulau Timba-Timba.

Pada masa sama, antara tapak selaman yang tercantik dan unik di dunia ialah di Pulau Sipadan.

Ia menjadi salah satu destinasi kegemaran penyelam malah penulis sendiri turut menyimpan hasrat untuk menyelam di sini.

Bagaimanapun, pulau lain tidak kurang hebatnya dengan terumbu karang yang menarik, ikan pelbagai jenis selain melakukan aktiviti snorkeling dan menyelam. Penyu dan ikan nemo menjadi antara tarikan utama.

IKAN nemo Di Pulau Timba Timba.
IKAN nemo Di Pulau Timba Timba.

Di Semporna, penulis juga berkesempatan menginap di salah satu resort di Pulau Bum Bum iaitu Lato Lato Resort.

Walaupun ia hanya menyediakan kemudahan sederhana namun suasana penginapan di tengah-tengah laut sememangnya memukau pengunjung.

Beberapa pulau yang menarik juga terdapat di bahagian pantai barat Sabah seperti Pulau Mantanani di Kota Belud dan pulau di Taman Tunku Abdul Rahman yang terdiri daripada Pulau Gaya, Pulau Sapi, Pulau Manukan, Pulau Mamutik dan Pulau Sulug.

Pulau Mantanani terletak lebih kurang 45 minit perjalanan bot dari jeti Kota Belud.

PULAU Bohey Dulang.
PULAU Bohey Dulang.

Terdapat perkampungan di kepulauan ini dan istimewanya pengunjung bukan sahaja disajikan dengan kejernihan air lautnya malah dapat menikmati pemandangan Gunung Kinabalu dari jauh, bima sakti, matahari terbit dan terbenam yang sangat indah.

Selain itu, pulau yang terletak di Taman Tunku Abdul Rahman pula hanya memakan masa lebih kurang 10 hingga 15 minit perjalanan bot dari jeti Kota Kinabalu.

Aktiviti air seperti layar layang (parasailing), 'banana boat,' selam snorkel dan menyelam juga menjadi tumpuan utama di sini.

Lokasinya yang berdekatan dengan bandaraya Kota Kinabalu lebih memudahkan pengunjung untuk menjalankan aktiviti hujung minggu atau pada musim cuti persekolahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 6:35 AM