RAJA Tatina (dua dari kiri) belum puas meneroka samudera pada usia mencecah 50 tahun.
RAJA Tatina (dua dari kiri) belum puas meneroka samudera pada usia mencecah 50 tahun.
Muhamaad Razis Ismail


Kuala Lumpur: Usianya sudah mencecah 50 tahun namun masih lagi aktif dengan aktiviti selam skuba di seluruh Malaysia dan luar negara. Antara lokasi biasa diterokai adalah Balok, Pulau Redang, Pulau Sipadan, Thailand dan Indonesia.

Kerana minat mendalam terhadap aktiviti itu, Raja Tatina Raja Musa bersama suami menubuhkan sebuah syarikat selam skuba dinamakan sebagai Divingbalok, di Balok, Kuantan, Pahang.

Perkhidmatan disediakan termasuk membawa peminat aktiviti selam skuba membuat fotografi makro sambil menikmati keunikan dan keindahan marin seperti pelbagai spesies ikan yu, udang dan nudibranch di sekitar perairan Kuantan.

Menurutnya, lokasi skuba mereka berbeza kerana dilakukan di lautan terbuka yang dipenuhi sandy bottom dan selut yang kaya dengan kepelbagaian biodiversiti marin makro.

Ditanya sama ada beliau pernah membawa golongan kenamaan lain menyelam, Raja Tatina menganggap setiap penyelam yang menggunakan perkhidmatan mereka adalah VIP.

"Kami melayan setiap penyelam sama rata. Faktor keselamatan objektif utama. Tanggungjawab kami memastikan setiap penyelam dibawa selamat pergi dan pulang ke darat

"Malah, ada sekumpulan penyelam tegar kerap ulang menyelam dengan kami hingga 10 kali setahun. Kumpulan ini kami anugerahkan mereka keahlian platinum Divingbalok," katanya.

Beliau berkata, minat mendalam terhadap selam skuba sejak berusia 16 tahun apabila sering melihat bapa saudara yang bertugas sebagai penyelam komersial.

"Saya mendapat pendedahan terhadap laut sejak umur setahun kerana ayah anggota tentera laut dan keluarga kerap berkelah di Pantai Teluk Batik dan Desaru. Pendedahan pertama kepada batu karang ketika berusia 14 tahun di Emerald Bay, Pulau Pangkor.

PENYELAM skuba memeriksa peralatan sebelum masuk laut.
PENYELAM skuba memeriksa peralatan sebelum masuk laut.

"Sejak kecil saya memang 'hantu air' dan didedahkan dengan laut sejak bayi. Didikan ibu bapa mendorong kecintaan pada aktiviti marin dan kelestarian alam sekitar," katanya.

Biarpun usia sudah mencecah 50 tahun, Raja Tatina masih aktif melakukan aktiviti selam skuba dan jika ada masa terluang, setiap hujung minggu beliau akan menyelam di sekitar Balok.

"Aktiviti ini sesuai untuk semua peringkat usia. Malah ada yang berusia 96 tahun masih lagi boleh menyelam.

"Selagi sihat, dan menerima surat pengesahan dari doktor untuk belajar ambil lesen skuba, usia bukanlah penghalang," katanya.

Beliau bersyukur kerana suaminya turut berkongsi minat sama dan mereka sering berdating di laut pada setiap hujung minggu.

"Sebelum menemui lokasi menyelam di Balok, kami biasa ke pulau setiap dua hingga tiga minggu sekali sebelum tergendala apabila anak sulung perlu ke kelas tuisyen sebagai persediaan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Sementara menunggu anak tuisyen, kami ke Kampung Balok untuk menunggu bot nelayan sambil membeli hasil tangkapan mereka. Daripada situ kami mengetahui keunikan hidupan marin di sini yang berpotensi menjadi lokasi aktiviti selam skuba yang menarik," katanya.

ADA penyelam tegar menyelam 10 kali setahun.
ADA penyelam tegar menyelam 10 kali setahun.

Selain itu, beliau turut aktif dengan program konservasi terumbu karang di lokasi yang terdedah dengan aktiviti perikanan di perairan Pahang.

"Program itu dijalankan dengan kerjasama membabitkan banyak pihak, termasuk industri perhotelan/resort, Taman Laut Malaysia, Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Persatuan Nelayan dan banyak lagi," katanya.

Tambahnya, pengalaman tidak boleh dilupakan adalah program konservasi gotong-royong terumbu karang pertama di Pulau Tenggol, Terengganu dengan bekalan pengalaman 15 logged dives.

"Di dalam program itu, saya dapat mengumpulkan 40 penyelam sukarela dari negara Malaysia, Singapura dan Hong Kong," katanya.

Berkaitan cabaran dalam menjalankan aktiviti ini, Raja Tatina mengakui, faktor cuaca antara perkara yang perlu dititikberatkan.

"Penilaian risiko yang bijak harus dilakukan sekiranya hendak keluar ke laut. Cuaca akan berubah pada bila-bila masa dan kita perlu sentiasa peka dengan perubahan sekeliling," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 6:45 AM