MOHMAD Fuad dan keluarga   bergelar Family Diver yang menjadikan bidang selaman skuba sebagai hobi sekeluarga sejak 2013.
MOHMAD Fuad dan keluarga bergelar Family Diver yang menjadikan bidang selaman skuba sebagai hobi sekeluarga sejak 2013.
Mahaizura Abd Malik


KUALA LUMPUR: Gemar bercuti ke pulau peranginan akhirnya mencambahkan minat lima beranak ini menceburi bidang dunia skuba.

Bukan itu saja, keluarga penyelam ini dikatakan sanggup berkelana menjelajah dunia mencari ilmu dan menimba pengalaman sebagai penyelam skuba secara berterusan sehingga seorang daripada mereka menjadikan sukan itu sebagai kerjaya.

Mohmad Fuad Ahmad, 59, berkata, mereka sekeluarga tiada asas dalam bidang skuba kerana pada mulanya sekadar mencuba aktiviti itu bagi mengisi masa ketika bercuti.

“Ketika anak masih kecil, kami kerap membawa mereka bercuti ke pulau setiap tahun.

“Satu hari, kami merancang percutian ke Tawau, Sabah selepas melihat promosi tiket kapal terbang murah untuk perjalanan dua hala.

“Tetapi, persoalannya kami tidak tahu hendak buat apa di sana sebelum teringatkan akitiviti skuba,” katanya.

Menurutnya, perjalanan mereka sekeluarga sebagai penyelam skuba bermula sekitar 2013.

“Anak bongsu kami ketika itu baru berusia 11 tahun manakala kakaknya berusia 14 dan 15 tahun.

“Kami membuat lesen di pusat selam skuba di Pulau Perhentian, Terengganu kerana sudah biasa bercuti di situ.

“Bermula daripada kosong dengan hanya diberikan buku manual bagi menduduki peperiksaan kelayakan mendapat lesen permulaan, kami mula belajar menyelam,” katanya.

Katanya, aktiviti itu kini menjadi hobi mereka sekeluarga yang pasti meluangkan masa sekurang-kurangnya tiga kali setahun untuk melakukan selaman skuba.

“Menyelam sudah menjadi satu kemestian kerana ini cara kami mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Bayangkan hari raya kelima tahun lalu kami menyelam dengan memakai baju kurung dan Melayu bagi mencari kelainan untuk merakam memori indah,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Noorazizah Yusof, 47, pula berkata, mereka mewujudkan akaun Instagram family_diver  bagi berkongsi pengalaman dan memberi inspirasi bahawa tiada halangan kalau membabitkan diri dalam skuba.

“Kami suami isteri memiliki sijil untuk lesen Advanced Open Water Diver dan berpengalaman lebih 200 kali menyelam termasuk di Similan, Sipadan, Kapalai, Mabul, Thailand, Aceh, Bali, Pemutaran, Manjangan dan Maldives.

“Anak sulung kami, Nur Sabrina, 21, menunjukkan minat mendalam dalam sukan ini. Dia adalah Divemaster termuda pada usia 18 tahun dan jurulatih skuba Open Water termuda ketika berusia 19 tahun.

“Anak kedua saya, Nur Qamarina, 20, juga mengikut langkah kakaknya apabila bergelar Divemaster ketika berusia 18 tahun manakala Ahmad Farhan, 17, memiliki sijil Advanced Open Water dan bakal membuat lesen Rescue Diver selepas Aidilfitri ini,” katanya.

Katanya, aspek keselamatan sentiasa diutamakan ketika berada dalam air.

“Kami selalu ingatkan diri, kena anggap seperti penyelam kali pertama walaupun sudah ratusan kali menyelam.

“Jangan terlalu yakin, apa yang penting utamakan keselamatan nyawa kerana ketika berada di dalam air kalau panik, nyawa boleh melayang.

“Jadi, setiap kursus penting mengajar kita apa boleh buat dan tidak boleh kerana ilmu itu amat berguna untuk keselamatan terutama ketika berlaku kecemasan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 6:30 AM