Pacuan empat roda dan motosikal yang terbakar selepas terbabit kemalangan. FOTO Ihsan Bomba
Pacuan empat roda dan motosikal yang terbakar selepas terbabit kemalangan. FOTO Ihsan Bomba
Muhammad Apendy Issahak


PENUNGGANG parah selepas motosikal dinaiki terbabit kemalangan dengan pacuan empat roda di Kilometer 329 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Tapah malam tadi.

Kejadian 12 tengah malam itu membabitkan motosikal jenis Yamaha 125Z dan pacuan empat roda Isuzu D-Max yang musnah terbakar.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 12.03 tengah malam dan operasi dijalankan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah.

“Maklumat awal mendapati kemalangan membabitkan motosikal dan pacuan empat roda yang mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu terbakar.

“Isuzu D-Max terbakar 75 peratus manakala motosikal terbakar 90 peratus mengakibatkan penunggangnya parah dan pemandu pula tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mangsa yang parah dibawa ke hospital oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Bomba kemudian bertindak memadamkan kebakaran kedua-dua kenderaan terbabit.

“Operasi yang diketuai Komander Operasi Saiful Hanif itu tamat 1.41 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 3:11 PM